Pecutan Dek Wan bakal curi tumpuan

Mohamad Ridzuan
Mohamad Ridzuan
A
A
A

PERJUANGAN atlet olahraga, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam mempertahankan pingat emas dimenanginya di Rio 2016 bakal menjadi tumpuan pada hari ke-10 temasya Sukan Paralimpik Tokyo, pada Jumaat.

Mohamad Ridzuan atau dikenali dengan panggilan mesranya ‘Dek Wan’, dijadual berdepan halangan pertamanya dalam kempen kedua di pentas Paralimpik, menerusi saringan kedua acara 100m T36 (kecacatan fizikal) kira-kira jam 8.33 malam (7.33 malam waktu Malaysia) di Stadium Olimpik.

Walaupun dianggap prospek pingat Malaysia pada temasya berprestij kali ini, pelari berusia 33 tahun yang mengalami celebral palsy itu tidak boleh memandang mudah cabaran atlet lain yang pastinya akan memberikan tentangan sengit untuk bergelar raja pecut bagi kategori itu.

James Turner dari Australia dan Yang Yifei dari China merupakan pencabar terdekat Mohamad Ridzuan, apabila kedua-dua pelumba itu pernah menewaskannya di kejohanan dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.

Selain muncul juara, James turut memecahkan rekod dunia dengan catatan baharu 11.72 saat (s) dalam kejohanan di UAE itu manakala Yang Yifei di tempat kedua dengan 11.79s dan Mohamad Ridzuan ketiga, dengan 11.97s.

Mohamad Ridzuan dijangka berlari bersama Yang pada saringan kedua manakala James pula akan beraksi pada saringan pertama.

Peringkat akhir dijadual berlangsung pada Sabtu, kira-kira jam 10.38 pagi (9.38 pagi waktu Malaysia).

Mohamad Ridzuan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik, menerusi acara 100m T36 lelaki di Rio 2016 dan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s, di Beijing 2008.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, seorang lagi harapan pingat negara, S. Suresh juga akan turun melepaskan panahannya dalam acara recurve lelaki terbuka di Lapangan Memanah Yumenoshima Park, esok.

Juara memanah dunia 2019 itu dijangka membuat perhitungan pada pusingan penyingkiran 1/16 dengan pemanah dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev.

Sementara itu, aksi hari ke-10 kontinjen Malaysia menyaksikan jaguh perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizika), Cheah Liek Hou melangkah ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan mengatasi pemain Taiwan, Jen Yu Fang, 21-13, 21-9, dalam aksi kumpulan B pada hari kedua badminton di Yoyogi National Stadium.

Rakan sepasukannya, Didin Taresoh yang beraksi dalam dua perlawanan hari ini bagi perseorangan lelaki SH6 (kecacatan fizikal) pula terpaksa menarik diri akibat kecederaan lutut pada set kedua dalam perlawanan kedua kumpulan B menentang Vitor Gonzales Tavares dari Brazil.

Selepas tewas set pertama, 13-21, Didin mengalami kecederaan pada set kedua sehingga mengakibatkannya melupakan baki saingan dalam penampilan pertamanya di pentas Paralimpik ketika Vitor mendahului 18-13.

”Lutut kanan terseliuh ketika aksi terakhir tadi dan memang ada kesan daripada kecederaan lama. Perlawanan berterusan dalam sehari memang mencabar buat Didin, kami akan sambung rawatan lanjutan di klinik kontinjen malam ini,” kata Ketua Pegawai Perubatan kontinjen Malaysia, Dr Azril Syazwan Mohd Ali.

Pemain kerdil dari Sabah itu sebelum ini tewas kepada pemain India Krishna Nagar, 22-20, 21-10 dalam perlawanan pertamanya tengah hari Khamis.

Hujan yang membasahi Fuji International Speedway, kira-kira 109 kilometer (km) dari sini, pula jelas memberi tamparan kepada pelumba berbasikal lebuh raya, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin yang beraksi dalam acara lebuh raya lelaki C1-3 (kecacatan fizikal).

Pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 79.2km itu di tangga ke-33 daripada 39 pelumba keseluruhan, seterusnya mengakhiri saingan tanpa sebarang pingat di Jepun. - Bernama