'Konvensyen nasional medan mantapkan parti'

Mohd Anuar Tahir – Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Mohd Anuar Tahir – Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A
KUALA LUMPUR – Usaha pengukuhan dan penambahbaikan parti antara fokus utama Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2018 yang akan berlangsung dari 14 hingga 16 Disember ini.

Setiausaha Agungnya Mohd Anuar Mohd Tahir berkata konvensyen nasional kali ketiga itu dijangka dihadiri 1,000 perwakilan dari 156 kawasan sah berdaftar dan merupakan yang pertama diadakan selepas parti itu menjadi sebahagian daripada parti komponen PH yang membentuk kerajaan.

Mohd Anuar berkata, konvensyen yang bakal diadakan di Ipoh, Perak itu akan menjadi medan 'pemantapan prestasi’ dan ahli perwakilan boleh gunakan peluang itu untuk melontarkan teguran kepada barisan pimpinan tertinggi ketika sesi penggulungan sekiranya terdapat sebarang isu berbangkit.

“Memilih Perak sebagai tuan rumah selepas Selangor pada 2016 dan Kedah tahun lalu, konvensyen ini akan menjadi 'post-mortem’ (pascanilai) bagi prestasi setiap pemimpin yang berada dalam kabinet sepanjang tempoh enam bulan ini,” katanya.

Untuk itu, Mohd Anuar menjangkakan kemeriahan konvensyen nasional kali ini memandangkan Amanah membariskan sembilan pimpinan tertinggi untuk menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri di bawah barisan kabinet PH yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Hampir semua pimpinan akan ada dan akan jawab bukan sahaja menggulung segala pandangan dan cadangan penambahbaikan. Sebagai pemerintah (kerajaan), saya harap pimpinan tertinggi menerima teguran secara terbuka demi kelangsungan parti,” katanya.

Mohd Anuar yang juga ahli Parlimen Temerloh menjelaskan setakat ini perbincangan dengan pembahas mengenai usul yang bakal dibawa adalah merangkumi isu ekonomi, sosial, politik, antarabangsa dan pendidikan.

Mengenai atur cara konvensyen nasional itu, Mohd Anuar berkata proses pendaftaran perwakilan akan diadakan pada 14 Disember manakala majlis perasmian akan disempurnakan Presiden Amanah Mohamad Sabu pada 15 Disember.

“Ia diikuti penyampaian pidato oleh presiden yang kemudiannya akan dibahas oleh perwakilan sebelum laporan tahunan dibentang oleh setiausaha agung dan pembentangan laporan penyata kewangan oleh bendahari.
Artikel Berkaitan:


Pada 16 Disember, akan diadakan sesi penggulungan oleh barisan kepimpinan parti, katanya.

Menurut Mohd Anuar, konvensyen itu juga dijangka dihadiri wakil komponen PH selain kira-kira 3,000 pemerhati dari dalam dan luar negara. - Bernama