X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 26 Jun 2022

Kes Shahrir: Pendakwaan akan serah pernyataan saksi kepada pembelaan

Tan Sri Shahrir Ab Samad
A
A

KUALA LUMPUR - Pihak pendakwaan dalam kes bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Ab Samad yang didakwa gagal mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), akan menyerahkan pernyataan saksi pendakwaan kepada pasukan pembelaan sebelum perbicaraan bermula pada 6 April 2022.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Afif Ali memaklumkan perkara itu semasa pengurusan kes berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh pada Khamis yang turut dihadiri peguam Syahrul Syazwan Salehin yang mewakili Shahrir.

“Pihak kami akan menyerahkan pernyataan saksi-saksi pendakwaan kepada pembelaan kelak,” kata Mohd Afif.

Sementara itu, Syahrul Syazwan memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya masih belum memperoleh pernyataan fakta yang memihak kepada tertuduh berdasarkan Seksyen 51A (1) (c) Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Ahmad Shahrir mengarahkan pihak pendakwaan supaya menyerahkan pernyataan fakta itu sebelum atau pada 16 September ini dan menetapkan 8 Februari 2022 untuk pengurusan kes selanjutnya.

Shahrir, 72, didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan yang bertentangan dengan Seksyen 113 (1) (a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek yang kemudiannya dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.

Beliau yang didakwa melakukan perbuatan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!