Pulau Langkawi dibuka kepada pelancong tempatan: PM

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Sektor pelancongan kembali dibuka kepada pelancong tempatan mulai 16 September ini dengan Pulau Langkawi sebagai projek rintis pembukaan sektor tersebut.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Sidang Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 pada Khamis.

"Sukacita dimaklumkan bahawa, mesyuarat bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung perjalanan (travel bubble) berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, destinasi pelancongan yang lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus populasi dewasa.

"Sebagai permulaan, Pulau Langkawi dipilih sebagai projek rintis," katanya.

Beliau berkata, sidang khas tersebut turut memutuskan Melaka beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan Negeri Sembilan beralih kepada Fasa 3.

"Peralihan ini akan bermula pada Sabtu ini," katanya.

Ismail berkata, kadar kebolehjangkitan (R-naught) di seluruh negara kembali berada pada paras bawah 1.0.

Artikel Berkaitan:

"Alhamdulillah, hari ini buat pertama kalinya selepas beberapa bulan, kadar Rt berada di bawah 1.0 dan saya yakin kita berada di landasan yang tepat ke arah pemulihan negara," katanya.

Menurutnya, berdasarkan unjuran data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), purata kadar vaksinasi di setiap negeri dijangka mencapai 80 peratus bagi populasi dewasa menjelang penghujung September 2021.

"Saya percaya kadar vaksinasi 100 peratus akan dicapai akhir Oktober 2021, sekali gus memberi perlindungan kepada Keluarga Malaysia," katanya.

Tambahnya, rakyat dan seluruh Keluarga Malaysia juga perlu bersedia untuk hidup bersama Covid-19 sebagai endemik selepas Oktober apabila suntikan vaksin dijangka selesai sepenuhnya.

"Justeru, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta untuk membentangkan strategi baharu pandemik dan endemik yang bersesuaian selain daripada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semata-mata," katanya.

Dalam pada itu, Ismail turut mengumumkan sidang khas itu dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang bakal melibatkan wakil daripada parti pembangkang.

"Pendekatan ini merupakan salah satu usaha kolektif untuk melibatkan semua pemegang taruh bagi memastikan pemulihan negara berjalan seperti yang telah dirancang, seiring dengan semangat Keluarga Malaysia," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!