Padah beli senapang tiruan, main perang olok-olok

Abdul Rahim (dua dari kanan) dan pegawainya pada sidang akhbar di IPD Kota Bharu pada Khamis menunjukkan senapang tiruan yang dirampas di Kampung Poh, Ketereh, Kota Bharu.
Abdul Rahim (dua dari kanan) dan pegawainya pada sidang akhbar di IPD Kota Bharu pada Khamis menunjukkan senapang tiruan yang dirampas di Kampung Poh, Ketereh, Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Tindakan enam lelaki termasuk dua remaja membeli senapang tiruan secara dalam talian untuk bermain perang olok-olok mengundang padah apabila mereka dicekup polis pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, serbuan pada jam 10.30 pagi di sebuah kilang padi lama di Kampung Poh, Ketereh di sini itu turut membawa kepada rampasan sebanyak 11 laras senapang tiruan terdiri daripada jenis M-16 dan AK-47.

Beliau berkata, turut dirampas ialah 14 kelopak berisi peluru plastik dan pelbagai jenis peralatan digunakan untuk aktiviti berkenaan.

Menurutnya, ketika serbuan, kesemua suspek berusia 14 hingga 39 tahun itu sedang melakukan latihan menembak dalam premis berkenaan.

"Pemeriksaan awal mendapati senjata yang dirampas itu merupakan senapang angin menggunakan peluru bebola plastik dan gel," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Pengkalan Chepa di sini pada Khamis.

Abdul Rahim berkata, soal siasat dilakukan mendapati suspek mengaku membeli senjata berkenaan daripada luar negara secara dalam talian untuk dijadikan sebagai alat permainan sejak dua bulan lalu.

Menurutnya, suspek turut mengaku mereka akan berhubung antara satu sama lain untuk menentukan masa dan tempat bagi tujuan latihan.

"Senapang yang dibeli itu dianggarkan bernilai RM200 hingga RM500 untuk satu laras," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Tambah Abdul Rahim, semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, empat suspek berusia 39 hingga 30 tahun direman selama dua hari bagi membantu siasatan, sementara dua lagi remaja dibebaskan dengan jaminan polis.

"Kesemua barangan rampasan dihantar ke Bahagian Persenjataan Polis untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 36 Akta Senjata 1960," katanya.