Surau baharu akan dibina ganti Surau Al-Mikraj

Kenyataan MOT pada Rabu.
Kenyataan MOT pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Surau Al-Mikraj di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan yang terpaksa dirobohkan berikutan projek pembesaran kawasan tersebut akan digantikan dengan pembinaan surau baharu dan selesa di 14 lokasi dalam kawasan terminal.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dalam satu kenyataan berkata, jumlah keluasan keseluruhan surau baharu yang disediakan adalah 560 meter persegi yang boleh memuatkan sehingga 500 jemaah di semua lokasi pada satu-satu masa.

"Perobohan Surau Al-Mikraj telah dilaksanakan berdasarkan persetujuan, tatacara dan ketetapan yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kelantan (MAIK) terutamanya mengenai kaedah mengurus harta wakaf bahan-bahan yang mengandungi tulisan ayat- ayat suci al-Quran dan seni khat.

"Kementerian ini juga menjunjung titah Sultan Muhammad V yang menitahkan agar semua bahan konkrit yang dikeluarkan dari Surau Al-Mikraj diserahkan kepada Masjid Telipot, Kota Bharu manakala bahan-bahan yang boleh diguna pakai semula diserahkan kepada MAIK sebelum diagihkan kepada Masjid Kampung Laut, Kota Bharu, Kelantan.

"Kementerian mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat memberikan kerjasama dalam melaksanakan projek ini dan berharap agar penjelasan ini dapat menjawab persoalan-persoalan yang dibangkitkan," katanya pada Rabu.

Sebelum ini, tular video berdurasi satu minit 19 saat, menunjukkan sebuah jentolak merobohkan binaan surau berkenaan dan mendapat pelbagai reaksi warganet yang rata-rata sedih dengan tindakan itu.

Mengulas lanjut isu tersebut, MOT menjelaskan projek pembesaran dan menaik taraf lapangan terbang itu merangkumi kerja-kerja pembesaran bangunan terminal bagi menampung keperluan sehingga empat juta penumpang setahun.

Katanya, projek tersebut bertujuan untuk meningkatkan tahap keselesaan di lapangan terbang, memenuhi keperluan kecekapan operasi penerbangan serta meningkatkan keselamatan di lapangan terbang.

Artikel Berkaitan: