Serah ATM ambil tindakan anggota tolak vaksin: Hishammuddin

Hishammuddin. Foto Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid.
Hishammuddin. Foto Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertahanan menyerahkan sepenuhnya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap seorang anggota tentera berpangkat Sarjan yang dipecat kerana menolak vaksin Covid-19.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagaimanapun menegaskan, pengambilan vaksin dalam kalangan anggota tentera diwajibkan atas dasar mereka hidup secara berkelompok.

“Saya difahamkan kalau sekiranya Sarjan berkenaan sanggup divaksin, saya percaya TDM (Tentera Darat Malaysia) akan pertimbangkan untuk beliau diserap semula bertugas tetapi keputusan itu diserahkan kepada individu berkenaan dan ia mesti dibuat oleh TDM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Sarjan berkenaan dalam sidang akhbar sempena memulakan tugas sebagai Menteri Kanan Pertahanan baharu di Wisma Pertahanan, Kementerian Pertahanan pada Rabu.

Kata Hishammuddin, ATM menggunakan pelbagai kaedah termasuk memujuk pegawai dan anggotanya bagi meyakinkan mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin memandangkan mereka menjadi pembawa risiko bukan sahaja kepada diri sendiri, tetapi juga kepada ahli keluarga dan masyarakat.

Dalam perkembangan sama, beliau sangat berpuas hati dan berasa bangga apabila 99.86 peratus pegawai dan anggota ATM sudah menerima satu dos vaksin manakala mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin sebanyak 99 peratus.

“Ahli keluarga mereka yang mendapat dos pertama pula sebanyak 92.7 peratus, dos kedua untuk ahli keluarga 88.63 peratus manakala warga kementerian yang telah divaksinasi adalah 100 peratus dengan dos pertama serta dos kedua 81.06 peratus,” kata beliau.

Sarjan berkenaan yang berkhidmat hampir 20 tahun dipecat selepas ingkar arahan untuk menerima vaksin.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, TDM akan mempertimbangkan anggota itu diserap semula jika dia bersedia menerima suntikan vaksin itu.

Keputusan memberhentikan anggota berkenaan masih kekal setakat ini.