Asnaf OKU terima bantuan basikal

Zahari (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan basikal kepada Wan Isa (tengah) bagi memudahkan dia berulang alik ke tempat kerjanya di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. - Foto AMCARE Agency
Zahari (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan basikal kepada Wan Isa (tengah) bagi memudahkan dia berulang alik ke tempat kerjanya di Pasar Kedai Payang, Kuala Terengganu. - Foto AMCARE Agency
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Kesukaran seorang asnaf orang kurang upaya (OKU) yang terpaksa berjalan sejauh lima kilometer dari rumahnya di Seberang Takir, di sini ke tempat kerja di Pasar Kedai Payang setiap hari mendapat perhatian AMCARE Agency.

AMCARE Agency yang merupakan ejen zakat kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menyerahkan sumbangan basikal kepada Wan Isa Wan Ismail, 55, bagi meringankan beban ditanggung asnaf berkenaan.

Wan Isa, seorang OKU kategori lembam yang bekerja sebagai pengangkut barang di Pasar Kedai Payang berkata, tidak menyangka akan menerima basikal tersebut selepas sekian lama memohon bantuan daripada pelbagai pihak.

“Saya tidak mampu bawa kenderaan lain, jadi bila dapat basikal ini memang saya rasa sangat gembira. Sudah lama saya memohon bantuan basikal dan akhirnya AMCARE sudi membantu.

“Kalau dulu saya perlu berjalan kaki untuk bekerja di Pasar Payang, namun kini saya boleh berulang alik dengan menunggang basikal, ia lebih memudahkan saya,” katanya selepas menerima basikal yang disempurnakan oleh Ahli Majlis Maidam, Datuk Zahari Harun di pejabat AMCARE Agency, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Pengurus Besar Wilayah AMCARE Agency, Asnawi Mohd Amin dan Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff.

Sementara itu Asnawi berkata, sumbangan tersebut merupakan sebahagian daripada usaha untuk membantu asnaf dan juga golongan tidak berkemampuan yang terjejas ketika musim pandemik.

“Program ini adalah kesinambungan program sosial yang telah dijalankan oleh AMCARE Agency sebelum ini seperti agihan daging, sumbangan lembu kepada masjid dan madrasah, bakul Aidilfitri, makanan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

“Ia selaras dengan komitmen agensi untuk melestarikan pembangunan komuniti, sekali gus dapat memberikan impak yang positif kepada masyarakat secara bersasar,” katanya.