30 ketua NGO sedia jadi calon Bebas PRU

Roslan menunjukkan kumpulan WhatsApp Team Bebas Malaysian yang dianggotai 30 ketua NGO seluruh negara sebagai calon Bebas PRU akan datang.
Roslan menunjukkan kumpulan WhatsApp Team Bebas Malaysian yang dianggotai 30 ketua NGO seluruh negara sebagai calon Bebas PRU akan datang.
A
A
A

IPOH - Sekurang-kurangnya 30 individu yang menaungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara sudah menyatakan kesediaan untuk bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden Persatuan Kemajuan India Malaysia (PKIM), Roslan Ali yang mendedahkan perkara itu berkata, mereka yang menjawat jawatan sebagai presiden dan pengerusi NGO itu turut sepakat untuk bertanding menggunakan satu logo sama.

"Kami telah kumpulkan mereka (calon) melalui (kumpulan WhatsApp) Team Bebas Malaysian di seluruh negara dan dalam waktu terdekat ini merancang berjumpa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk minta satu logo yang akan digunakan semua calon.

"Buat masa ini, terdapat kira-kira 30 orang sudah nyatakan kesediaan bertanding sebagai calon Bebas antaranya dari Kedah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Pahang di mana di Perak sendiri ada 18 orang. Kebanyakan mereka adalah presiden NGO," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Bekas Pegawai Khas Ahli Parlimen Ipoh Barat itu juga mengesahkan bertanding sebagai calon Bebas, namun tidak mendedahkan akan bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen mana buat masa ini.

Katanya, mereka sudah lama bersedia untuk menghadapi PRU kerana kebanyakan calon merupakan individu berpengalaman yang aktif turun padang membantu rakyat terutama dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Politik Malaysia kini kucar-kacir, yang di atas (pucuk pimpinan) bergaduh, sedangkan rakyat ramai yang mati. Jadi, misi kami adalah membantu rakyat yang terkesan dengan keadaan sekarang.

"Kesediaan kami bertanding dalam PRU ini, selepas melihat hanya kira-kira 30 peratus wakil rakyat turun padang sedangkan sebahagian besarnya tidak," katanya.

Artikel Berkaitan: