Perbaharui LKM di Puspakom mulai 1 September

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Urusan pembaharuan lesen kenderaan motor (LKM) termasuk cukai jalan untuk kereta persendirian boleh dibuat di pusat pemeriksaan Puspakom seluruh Semenanjung Malaysia bermula Rabu.

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dalam satu kenyataan berkata, sejak tahun lalu Puspakom hanya menerima pembaharuan LKM melibatkan kenderaan barangan dengan berat 7.5 tan ke bawah sahaja.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat di semua 39 pusat pemeriksaan Puspakom di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Fasa awal pelaksanaan pembaharuan LKM hanya akan melibatkan kenderaan persendirian sama ada milik individu atau syarikat,” kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut JPJ, inisiatif tersebut akan diperluaskan lagi merangkumi pembaharuan LKM buat motosikal dan kenderaan e-hailing bermula November.

“Orang ramai boleh membuat janji temu secara dalam talian di pautan https://lkm-appointment.puspakom.com.my. Urusan secara 'walk-in' pada masa ini tidak dibenarkan,” katanya.

Tambahnya, semua transaksi pembayaran di kaunter Puspakom adalah secara tunai sahaja.

“Untuk maklumat lanjut boleh hubungi khidmat pelanggan Puspakom di talian 03-5101 7000 atau emel customerservice@puspakom.com.my atau mesej peribadi di halaman Facebook rasmi Puspakom Sdn Bhd,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: