Nyaris rempuh anggota polis

Kereta suspek telah tersangkut pada kabel pembahagi jalan semasa cuba melarikan diri.
Kereta suspek telah tersangkut pada kabel pembahagi jalan semasa cuba melarikan diri.
A
A
A
KLANG - Anggota polis nyaris dirempuh kereta yang dipandu seorang lelaki dalam cubaannya melarikan diri daripada diperiksa pagi tadi.

Dalam kejadian itu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan mempertahankan diri daripada dilanggar dan bagi menghalang suspek melarikan diri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Superintendan Mohd Khairi Shafie berkata, dalam kejadian sekitar jam 6 pagi itu, sebuah kereta peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara mengesan sebuah kereta jenis Proton Satria dalam keadaan mencurigakan di Jalan Meru menuju ke Setia Alam.

“Polis ingin membuat pemeriksaan dan mengarahkan pemandu kereta berhenti, bagaimanapun tidak diendahkan dan bantuan kereta peronda lain telah dibuat.

“Kereta suspek kemudian berjaya dihalang di Plaza Tol Barrier Kapar, kilometer 10 Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (Shah Alam menghala Pelabuhan Klang). Suspek telah melanggar bahagian depan kereta peronda sehingga menyebabkan kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dadah yang ditemui dan dirampas polis.
Dadah yang ditemui dan dirampas polis.

Mohd Khairi berkata, suspek cuba melarikan diri dengan mengundurkan kenderaan sehingga nyaris melanggar anggota kereta peronda yang berada berhampiran.

“Polis telah melepaskan beberapa das tembakan bagi menghalang suspek melarikan diri dan mempertahankan diri dari dilanggar.

“Sebanyak tujuh kesan tembakan telah ditemui pada kenderaan. Kenderaan suspek telah tersangkut pada kabel pembahagi jalan semasa cuba melarikan diri. Anggota polis dan suspek tidak mengalami sebarang kecederaan.

Artikel Berkaitan:

“Pemeriksaan ke atas suspek telah menemui dadah syabu seberat 30.38 gram, ganja seberat 10.25 gram dan 20 biji pil erimin 5 seberat 5.43 gram,” katanya.

Menurut Mohd Khairi lagi, ujian air kencing suspek berusia 32 tahun itu, positif dadah jenis methampetamine dan amphetamine.

“Suspek yang bekerja sebagai mekanik mempunyai enam rekod jenayah lampau antaranya membabitkan kes dadah dan samun.

“Suspek direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (cubaan membunuh), Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952,” katanya lagi.