Doktor pelatih dari Malaysia terima pengiktirafan di UK

Ciptaan hijab pakai buang Farah (kiri) menerima pelbagai pengiktirafan di UK.
Ciptaan hijab pakai buang Farah (kiri) menerima pelbagai pengiktirafan di UK.
A
A
A

SHAH ALAM - Doktor pelatih dari Malaysia mencipta hijab pakai buang yang menepati syarat prosedur pembedahan perubatan di United Kingdom (UK) diberi pengiktirafan dan menerima pelbagai anugerah.

Doktor Pelatih Pembedahan Hospital Besar Northam United Kingdom, Farah Roslan berkata, rekaan hijab pakai buang itu dihasilkan untuk bekerjasama dengan Hospital Diraja Derby diiktiraf sebahagian peralatan pembedahan yang dibenarkan di UK.

Menurutnya, ciptaan hijab khas tersebut telah mengharumkan namanya sebagai seorang Muslim dari Malaysia dan rata-rata penduduk Islam di UK menjadikan beliau inspirasi.

“Idea ciptaan tercetus apabila mendapati ramai pelajar latihan pembedahan yang berhijab sanggup menolak program latihan praktikal kerana tidak dibenarkan memasuki pembedahan dengan memakai hijab biasa.

“Saya turut mengalami diskriminasi bukan sahaja sebagai orang asing di UK malah seorang wanita dan beragama Islam. Jadi pengiktirafan ini adalah sesuatu yang luar biasa bagi saya.

“Saya berusaha mencipta rekaan hijab menggunakan bahan gred perubatan yang mudah digunakan dan menutup aurat sama seperti hijab yang digunakan dalam kegiatan seharian,” katanya dalam satu temubual bersama siaran media UK.

Mengulas lanjut, Farah Roslan berkata, antara pengiktirafan yang diterima termasuk Anugerah Doktor Terbaik Yayasan Nottingham, Anugerah Kepimpinan Perubatan NHS dan kini calonkan sebagai penerima Anugerah Bishop Muslim UK.

Tambahnya, rekaan tersebut menjadi pencetus semangat kepada semua doktor Muslim untuk terus berusaha memastikan pengalaman latihan dan kegiatan bidang perubatan tidak bercanggah dengan tuntutan Islam.

Artikel Berkaitan:

“Pada saya, Islam adalah cara hidup, walaupun kami di sini berlatih lebih 13 jam sehari, Alhamdulillah saya masih mampu berpuasa di bulan Ramadan dan menjalankan segala tanggungjawab lain sebagai seorang Muslim. Segalanya datang daripada usaha kita sendiri dan izin ALLAH SWT,” ujarnya.