Roy King, Valeree Siow bantu negara raih tiga kejuaraan di Latvia

Yap Roy King dan Valeree Siow membantu Malaysia menjuarai tiga perlawanan akhir beregu badminton pada Kejohanan Antarabangsa Latvia di Jelgava. - Foto FB BAM
Yap Roy King dan Valeree Siow membantu Malaysia menjuarai tiga perlawanan akhir beregu badminton pada Kejohanan Antarabangsa Latvia di Jelgava. - Foto FB BAM
A
A
A

YAP Roy King dan Valeree Siow menjadi tunggak pemain beregu negara apabila membantu Malaysia menjuarai tiga perlawanan akhir beregu badminton pada Kejohanan Antarabangsa Latvia di Jelgava.

Gandingan beregu campuran Yap Roy King-Valeree Siow merangkul gelaran juara, selepas menewaskan pasangan senegara Muhammad Nurfirdaus Azman-Low Yeen Yuan 22-20, 21-15, pada aksi final selama 36 minit yang berlangsung di Jelgava Sport Hall, lewat malam Ahad.

Roy King kemudian berpasangan dengan Muhammad Nurfirdaus untuk meraih gelaran keduanya, selepas menundukkan gandingan senegara Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri 21-23, 21-15, 21-19 dalam final beregu lelaki.

Pada masa sama, Valeree juga memperoleh gelaran keduanya pada kejohanan tersebut, apabila berpasangan dengan Yeen Yuan untuk mengungguli saingan beregu wanita, dengan mengatasi wakil Itali Martina Corsini-Judith Mair 21-7, 21-17 di akhir.

Bagi Roy King, beliau sememangnya menyasarkan untuk mara ke final bagi kedua-dua acara tersebut dan berpuas hati dapat melaksanakan misi itu, terutama selepas pulih daripada jangkitan Covid-19 sebelum ini.

“Saya rasa kejohanan ini bagi saya keyakinan untuk bergandingan dengan Nurfirdaus berdepan mana-mana pasangan, perasaan sama apabila bersama Valeree dalam acara beregu campuran,” katanya dalam kiriman audio kepada media tempatan pada Isnin.

Sementara itu, walaupun gembira dengan kejayaan dilakar, Valeree mengakui masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, terutama pergerakannya di dalam gelanggang bagi memastikan beliau lebih bersedia untuk beraksi di tahap lebih tinggi.

“Saya ingin berterima kasih kepada kedua pasangan saya yang membantu di dalam gelanggang supaya saya lebih fokus ketika bermain,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, perseorangan lelaki negara, Kok Jing Hong terkandas di separuh akhir selepas tewas 11-21, 17-21 kepada pemain India, Meiraba Luwang Maisnam. - Bernama