Perak akan pinjam vaksin daripada Selangor

Perak akan meminjam dos vaksin daripada kerajaan negeri Selangor sebagai usaha mengatasi masalah kelewatan penerimaan vaksin di negeri itu. Gambar kecil : Saarani
Perak akan meminjam dos vaksin daripada kerajaan negeri Selangor sebagai usaha mengatasi masalah kelewatan penerimaan vaksin di negeri itu. Gambar kecil : Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan meminjam dos vaksin simpanan daripada kerajaan negeri Selangor sebagai usaha mengatasi masalah kelewatan penerimaan vaksin di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, surat permohon telah dikemukakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim kepada kerajaan Selangor pada pagi Isnin.

Menurutnya, penerimaan vaksin yang dipinjam daripada kerajaan Selangor itu nanti diyakini mampu memastikan vaksin di negeri ini mencukupi.

"Kita akan tampung ketidakcukupan, kelewatan itu dengan meminjam terlebih dahulu sejumlah vaksin daripada kerajaan Selangor disebabkan Selangor dah beli vaksin tetapi tak boleh guna sebab tak ada tempat simpanan.

"Jika mereka bersedia pinjamkan kepada kita, bila kita dapat vaksin itu nanti, kita akan pulangkan semula kerana bukan tak cukup vaksin tetapi penjadualan ketibaan vaksin sebab ia tertakluk kepada pembekal. Terima kasih, insya-ALLAH negeri Selangor akan membantu kita dalam hal ini," katanya ketika sesi penggulungan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih atas Penzahiran Titah Diraja Sultan Perak Darul Ridzuan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Isnin.

Sementara itu, mengenai peluasan pusat pemberian vaksin (PPV) di negeri ini, Saarani memaklumkan, sehingga 23 Ogos 2021, sebanyak 150 buah pengamal perubatan am (GP) swasta telah diluluskan sebagai PPV di seluruh Perak.

Katanya, daerah Kinta paling tinggi iaitu sebanyak 58 buah, diikuti Manjung (22), Larut Matang Selama (16), Kerian (11), Hilir Perak (10), Muallim (10), Kampar (8), Kuala Kangsar (5), Hulu Perak (3), Batang Padang (3), Perak Tengah (2), dan Bagan Datuk (2).

Dalam pada itu, Saarani turut menyambut baik saranan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kepayang) agar pemberiaan vaksin disegerakan kepada remaja sekolah.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, walaupun guru-guru dan petugas di sekolah sudah diberikan vaksin, namun pelajar masih boleh menjadi pembawa kepada virus berkenaan.

"Saya setuju bahawa Dewan ini menyatakan pendirian bahawa DUN Perak mengambil perhatian mendesak kerajaan zPersekutuan untuk membuat kajian serius jika ada keperluan untuk memberikan vaksin kepada remaja sekolah maka kita turut menyokong dan berharap ia akan dilaksanakan secepat mungkin," katanya.

Cadangan itu kemudiannya disambut dengan tepukan meja oleh semua ADUN-ADUN sebagai tanda sokongan.