Wea Selamos, Tok Singa dihadapkan ke mahkamah

Wea Selamos (kiri), Tok Singa (tengah), Idrees (kanan) dan Mohd Eric (belakang Tok Singa) tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Isnin.
Wea Selamos (kiri), Tok Singa (tengah), Idrees (kanan) dan Mohd Eric (belakang Tok Singa) tiba di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengamal perubatan tradisional dikenali sebagai Wea Selamos dan Tok Singa bersama dua lagi rakan mereka dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini pada Isnin atas tuduhan memukul seorang bomoh pada 5 Ogos lalu.

Wea Selamos atau nama sebenarnya Mohd Shamsul Izwan Midin, 33, dan Tok Singa atau nama sebenar, Muhammad Firdaus Mohd Adnan, 33, didakwa di hadapan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani.

Dua lagi rakan mereka juga pengamal perubatan tradisional ialah Idrees Ishak, 42, dan Mohd Eric Mohd Ramli, 35.

Kesemua mereka selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Ahmad Shahrill ‘Ariff Zainol, 39, di sebuah rumah tumpangan di Jalan Taqwa, Kampung Huda, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini pada jam 4 pagi, 5 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Shahril Ramli manakala kesemua OKS diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi Mohamad.

Artikel Berkaitan:

Wea Selamos (dua dari kanan),Tok Singa (belakang, kiri), Idrees (kiri) dan Mohd Eric (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas mengaku tidak salah atas pertuduhan memukul seorang bomoh pada 5 Ogos lalu.
Wea Selamos (dua dari kanan),Tok Singa (belakang, kiri), Idrees (kiri) dan Mohd Eric (kanan) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret selepas mengaku tidak salah atas pertuduhan memukul seorang bomoh pada 5 Ogos lalu.

Sebelumnya, Shahril memohon tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen dan mencadangkan jaminan RM5,000 ke atas setiap OKS.

Mohd Azrul Hasyimi bagaimanapun merayu bagi pihak semua anak guamnya supaya jumlah itu dikurangkan dengan alasan mereka memberi kerjasama baik termasuk Tok Singa dan Idrees yang baru tiba dari Pulau Pinang untuk datang ke mahkamah tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan kesemua mereka diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 Oktober ini.

Kesemua mereka dibebaskan selepas menjelaskan jaminan itu.

Pada awal Ogos lalu, tular beberapa siri siaran langsung di media sosial Facebook memaparkan kejadian membabitkan sebuah keluarga mendakwa terkena perbuatan sihir.

Sekumpulan pengamal perubatan yang cuba membantu mereka dikatakan secara kebetulan membongkar perbuatan seorang bomoh lain yang kononnya datang membantu keluarga itu tetapi dipercayai melakukan perbuatan sihir terhadap orang lain pula.