Pengamal perubatan swasta dialukan sertai Skim Perubatan Madani

Dr Zaliha
Dr Zaliha
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan (KKM) mengalu-alukan pengamal perubatan swasta umum (GP) di 10 daerah iaitu di Gombak, Hulu Langat, Klang dan Petaling (Selangor), Kuala Lumpur, Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor), Kota Kinabalu (Sabah) dan Kuching (Sarawak) untuk menyertai program rintis Skim Perubatan Madani.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, menerusi kerjasama itu, ia dapat membantu golongan berpendapatan rendah (B40) mendapatkan rawatan tanpa perlu menunggu lama atau menghadapi kesesakan di premis kesihatan milik kerajaan.

Ujarnya, skim tersebut akan mula dilaksanakan pada 15 Jun ini yang memberi manfaat percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

“Semasa pembentangan Bajet 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan Skim Perubatan Madani sebagai salah satu inisiatif kerajaan bagi mengatasi isu kesesakan pesakit di kemudahan kesihatan kerajaan.

“Skim Perubatan Madani merupakan manfaat perkhidmatan kesihatan percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR),” kata beliau dalam satu kenyataan pada Jumaat.

KKM menjemput GP di lokasi yang terlibat untuk mendaftar sebagai klinik panel Skim Perubatan Madani bermula hari ini dengan melayari laman sesawang ProtectHealth di www.protecthealth.com.my/skimperubatanmadani atau menghubungi talian 03-8687 2525.

ProtectHealth juga akan menganjurkan sesi taklimat dan latihan secara dalam talian kepada GP yang berdaftar untuk penerangan lebih lanjut mengenai Skim Perubatan Madani.