JDT akan terus mendominasi saingan Liga Super

No Image Caption
A
A
A

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) akan terus mendominasi saingan Liga Super untuk beberapa tahun akan datang sekiranya tiada pasukan lain yang mampu bergerak pantas untuk menyaingi pasukan Harimau Selatan itu.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan berkata, JDT bergerak dengan konsisten terutama memastikan pelan perancangan jangka pendek, sederhana dan panjang berada pada landasan yang betul sekali gus memberikan kejayaan berterusan kepada pasukan itu.

Namun, menurut Sathianathan, berbeza dengan pasukan lain dalam saingan liga yang masih belum menunjukkan persaingan ketara kepada JDT dengan pasukan dari Selatan itu terus mencipta sejarah memenangi kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.

"Kejayaan JDT buat kali kelapan berturut-turut ini menunjukkan bahawa pasukan lain perlu berusaha lebih banyak lagi. JDT menunjukkan mereka jauh lebih bagus berbanding pasukan lain dengan berjaya jadi juara lebih awal walaupun liga berbaki tiga perlawanan.

"Jika pasukan lain lambat hendak bergerak, maka jurang tersebut akan makin besar dan JDT akan terus mendominasi liga untuk satu tempoh yang lama. Takkanlah JDT nak kena rendahkan standard mereka. Mereka akan tetap naik dan makin lama makin kuat sebab mereka beraksi di peringkat tertinggi terutama di Liga Juara-Juara AFC.

"Ramai orang cakap JDT boleh buat kerana duit banyak. Bukan itu isunya, pasukan lain juga ada dana, tetapi perancangan mereka tidak betul.

"Kita tengok bagaimana perancangan teliti dilakukan JDT dan sekarang kita dah boleh tengok pemain-pemain muda nampak dalam pasukan utama mereka.

"Itu menunjukkan JDT bukan hanya tumpukan kepada kejohanan, tetapi juga ada perancangan bola sepak yang teliti bermula di akar umbi. Ini kerana rangkaian bola sepak mereka memang lengkap dan pasukan lain kena berusahalah untuk merapatkan jurang," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

JDT terus membuktikan penguasaan mereka dalam saingan Liga Super apabila menjuarai saingan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut dan kejayaan tersebut dicapai lebih awal walaupun saingan liga masih berbaki tiga perlawanan.

Mengulas lanjut, Sathianathan turut melihat tidak banyak pasukan cuba mengorak langkah dengan Terengganu FC (TFC) antara pasukan yang bersungguh-sungguh untuk cuba meningkatkan tahap bola sepak kelab tersebut.

"Untuk merapatkan jurang dengan JDT ini banyak perkara kena buat antaranya daripada segi infrastruktur, perubatan, kebajikan pemain dan sebagainya kena lengkap. Seperti Terengganu dah bermula dan mereka senyap-senyap bergerak.

"Kalau 10 tahun lalu bermain di Terengganu, pasukan perlu bermain di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dengan keadaan padang yang agak teruk. Tetapi, sekarang kita tengok macam mana perubahan yang mereka buat di Terengganu.

"Sekarang, mereka ada padang dengan rumput yang bagus, ada pasukan untuk pemain muda (Terengganu 2) dan ada juga akademi. Terengganu FC juga ketika ini berada antara kedudukan teratas liga walaupun mereka tidak mempunyai pemain yang boleh dikatakan bintang.

"Inilah perubahan yang orang nak nampak. Jika kita dapat lihat banyak pasukan sedia untuk membuat perancangan lebih bagus, maka saya percaya akan ada pasukan mampu tampil sebagai pencabar JDT," katanya.