Ternakan khinzir secara haram didakwa cemar sungai

Sungai di Kampung Baru Site A, Bukit Pelanduk, Port Dickson tercemar dipercayai berpunca daripada aktiviti ternakan khinzir secara haram.
Sungai di Kampung Baru Site A, Bukit Pelanduk, Port Dickson tercemar dipercayai berpunca daripada aktiviti ternakan khinzir secara haram.
A
A
A

PORT DICKSON - Kerajaan Negeri Sembilan digesa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap operasi ternakan dan penyembelihan khinzir secara haram di sekitar Kampung Baru Side A, Bukit Pelanduk di sini.

Aktivis sosial, K Balasubramaniam berkata, pihaknya menerima aduan mengenai terdapat kegiatan terbabit sejak kira-kira tiga tahun lalu.

Beliau mendakwa, akibat operasi haram itu, air sungai di kawasan berhampiran tercemar, kelihatan hitam serta mengeluarkan bau sangat busuk.

"Saya percaya air sungai di kawasan ini sudah tercemar akibat operasi ternakan dan penyembelihan khinzir haram secara besar-besaran yang tidak dikawal.

"Air sungai yang tercemar dan bercampur najis khinzir itu akan mengalir ke laut, sekali gus menjejaskan kebersihan air laut di pantai Port Dickson yang merupakan kawasan tumpuan pelancong," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Balasubramaniam berkata, beliau sudah membuat aduan menerusi panggilan telefon kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri dan Jabatan Veterinar negeri, namun pihak terbabit hanya datang sekali membuat tinjauan tetapi tiada tindakan lanjut sehingga kini.

Balasubramaniam menunjukkan laporan polis yang dibuat pada Jumaat lalu berhubung kewujudan aktiviti ternakan dan penyembelihan khinzir secara haram di Bukit Pelanduk, Port Dickson.
Balasubramaniam menunjukkan laporan polis yang dibuat pada Jumaat lalu berhubung kewujudan aktiviti ternakan dan penyembelihan khinzir secara haram di Bukit Pelanduk, Port Dickson.

Menurutnya, aduan juga sudah disalurkan kepada beberapa agensi jabatan kerajaan, anggota Exco Kerajaan Negeri dan wakil rakyat, malah laporan polis sudah dibuat berhubung perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Exco Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan berkata, pihaknya sedia maklum dengan aduan yang dalam perhatian kerajaan negeri itu.

Beliau mengakui terdapat aktiviti penyembelihan dan ternakan khinzir secara haram di kawasan tersebut, namun kerajaan negeri dalam proses perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

"Kita sedia maklum mengenai aduan tersebut dan kita juga dalam proses perbincangan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk semua pihak.

"Buat masa ini, saya sudah meminta JAS mengambil sampel air di sungai tersebut untuk melihat kandungan pencemaran yang didakwa. Jika benar wujud pencemaran, kita akan kenakan tindakan kepada pihak terbabit di bawah Badan Kawal Selia Air.

"Kerajaan negeri juga sudah meminta Jabatan Veterinar negeri untuk memantau kawasan tersebut untuk tindakan lanjut," jelas beliau.