X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Pemergian Ahmad Sarji kehilangan besar kepada negara

A
A

KUALA LUMPUR - Pemergian Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, pada awal pagi hari ini merupakan satu kehilangan besar kepada negara.

Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Allahyarham merupakan tokoh pentadbir perkhidmatan awam yang amat disegani serta seorang individu yang tegas dan amat berdedikasi dalam menjalankan setiap amanah yang digalas.

“Allahyarham berani dan lantang bersuara, tegas dalam membuat keputusan, amanah dalam berkhidmat serta berdisiplin tinggi.

“Penampilannya yang sederhana serta mudah didekati menjadikan Allahyarham amat disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, semasa menjawat jawatan KSN, Allahyarham dikenali sebagai tokoh yang mendukung konsep Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM) bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmad Sarji di atas pemergian itu.

Ahmad Sarji, 82, yang menyertai Pentadbiran Tanah Melayu sebagai Timbalan Penolong Pegawai Daerah Klang pada Januari 1961, berkhidmat sebagai KSN dari 1990 hingga 1996.

Sementara itu, Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi akaun media sosial miliknya turut melahirkan rasa dukacitanya atas pemergian Allahyarham pada Sabtu dan mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Dalam pada itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, negara kehilangan seorang lagi tokoh yang banyak jasanya kepada perkhidmatan awam dan perkembangan agama Islam.

"Semoga segala jasanya kepada Malaysia selama ini akan menjadi simpanan berharga di akhirat. Salam takziah kepada keluarga Allahyarham, semoga mereka akan tabah menghadapi dugaan ini," katanya dalam hantaran di media sosial. -Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!