X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

Lebih 300 pemandu teksi limosin LTAPP hilang pendapatan

Mohd. Razmi (tiga dari kiri) menyerahkan sumbangan barangan makanan kepada pemandu teksi dan limosin di LTAPP di Bayan Lepas hari ini.
A
A

GEORGETOWN - Lebih 300 pemandu teksi limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) Bayan Lepas, dekat sini hilang punca pendapatan sejak dua tahun lepas ekoran wabak Covid-19, sehingga ada antara mereka terpaksa bertukar kerjaya.

Pengerusi Persatuan pemandu Limo dan Teksi LTAPP, Hafizi Ahmad berkata, ada dalam kalangan mereka yang berhenti buat sementara waktu, dan bekerja sebagai pengawal keselamatan, penghantar makanan dan barang serta menjadi pemandu lori bagi menampung kehidupan, termasuk membayar hutang kenderaan limosin mereka.

Beliau berkata, pendapatan beliau serta pemandu teksi limosin lain di sini merosot teruk, dan beliau menganggarkan kini rata-rata mereka hanya mampu mendapat satu hingga dua penumpang sahaja dalam sebulan, berbanding empat hingga lima penumpang sehari sebelum ini.

"Berbanding sebelum pandemik Covid-19, biasanya saya boleh mendapat antara empat hingga lima penumpang sehari dengan anggaran pendapatan sehingga RM200, tapi sekarang ini nak dapat seorang penumpang sebulan pun susah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hafizi, 51, berkata demikian ditemui pemberita pada majlis penyerahan sumbangan bakul makanan kepada pemandu limosin dan teksi LTAPP oleh Perkeso dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kepada 100 pemandu.

Sumbangan barangan makanan bernilai RM100 yang diserahkan Ketua Cawangan Sumber Manusia Ibu Pejabat Perkeso, Mohd Razmi Khalid itu merupakan inisiatif agensi berkenaan dalam meringankan beban kumpulan penggiat dalam sektor pelancongan sempena Jelajah Prihatin Jubli Emas Perkeso.

Hafizi yang sudah menjadi pemandu limosin di LTAPP sejak 22 tahun lepas berkata, beliau sendiri ketika ini terpaksa melakukan kerja sampingan sebagai pengawal keselamatan pada sebelah malam bagi mencari pendapatan tambahan untuk meneruskan kehidupan.

"Ramai yang terpaksa menukar kerja untuk meneruskan kehidupan, dan lebih menyedihkan adalah ada ahli persatuan kami terpaksa merelakan kenderaan mereka ditarik balik kerana tidak mampu melunaskan bayaran bulanan selepas hilang pendapatan," katanya.

Katanya, selain sumbangan daripada pelbagai pihak yang dapat membantu meringankan tekanan ekonomi yang dihadapi pemandu teksi limosin ketika ini, pihaknya juga berharap masalah mereka mendapat perhatian lebih serius daripada kerajaan pusat, khususya pihak berkuasa yang berkaitan bagi menanggani pelbagai isu, antaranya isu saingan dari perkhidmatan e-hailing.

Sementara itu, Mohd Razmi berkata, Pulau Pinang merupakan negeri kedua yang disinggah konvoi Perkeso itu selepas menghulurkan bantuan kepada pemandu limosin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bulan lalu.

Katanya, konvoi itu kemudiannya akan bergerak ke seluruh negara bagi menyerahkan keseluruhan sebanyak 900 kotak makanan menerusi program itu termasuk kepada mangsa tragedi kepala air di Yan, Kedah. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!