Umairah cipta sejarah wanita pertama terajui Kesatuan Pelajar UIAM

Umairah mencipta sejarah sebagai wanita pertama menerajui Kesatuan Pelajar UIAM.
Umairah mencipta sejarah sebagai wanita pertama menerajui Kesatuan Pelajar UIAM.
A
A
A

GOMBAK – Pandangan skeptikal terhadap kemampuan wanita memimpin tidak memadamkan semangat Umairah Bajrai Jaffar untuk mencipta sejarah sebagai wanita pertama dipilih menerajui Kesatuan Pelajar (SU) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penuntut jurusan Sains Politik tahun ke ketiga berusia 28 tahun itu berkata, kemenangan tersebut mengejutkannya kerana jawatan presiden hadir dengan amanah dan tanggungjawab besar.

“Sejujurnya, saya terkejut dan merasakan tanggungjawab ini sangat berat kerana ia satu amanah yang perlu dipikul.

“Bukan mudah untuk menjadi seorang pemimpin. Saya perlu menjadi individu yang bertanggungjawab terhadap setiap perkara melibatkan mahasiswa," katanya kepada Sinar Harian.

Pada 11 November lalu, kejayaan itu diraih selepas Umairah memperoleh 3,422 undi dalam pilihan raya kampus, mengatasi dua calon lelaki yang mendapat 1,801 dan 655 undi.

Sebelum dipilih sebagai Presiden Kesatuan Pelajar IIUM, beliau terlebih dahulu memegang jawatan Naib Presiden yang mengendalikan hal ehwal kebajikan pelajar di kampus Gombak.

Tambahnya, pengalaman bekerja sebagai pembantu guaman selepas menamatkan pengajian diploma undang-undang memupuk keberaniannya memperjuangkan hak orang lain.

“Sepanjang bekerja, saya berpeluang menyaksikan sendiri keupayaan wanita dalam kepimpinan, termasuk pengalaman bekerja di bawah bekas majikan yang merupakan menteri undang-undang dan penglibatan dalam program komuniti wanita.

“Saya juga pernah berinteraksi dan bertukar pandangan dengan beberapa pemimpin wanita. Pengalaman itu menjadi inspirasi kepada saya untuk turut melangkah ke hadapan,” kongsinya.

Artikel Berkaitan:

Berkongsi pengalaman sewaktu berkempen, Umairah menyatakan terpaksa berdepan pandangan segelintir pihak yang mempersoalkan kemampuan untuk memikul tanggungawab menerajui kepimpinan mahasiswa.

Menurutnya, beliau tidak menghiraukan pandangan berkenaan dan menjelaskan kepada pengundi bahawa wanita juga mampu memimpin.

“Kalau betul wanita tidak boleh memimpin, apabila ibu tiada di rumah, bapa mungkin tidak dapat pergi kerja tepat pada waktunya dan anak-anak juga tidak dapat ke sekolah.

“Ibu juga pemimpin dalam keluarga. Dalam Islam, wanita turut melahirkan dan membentuk pemimpin. Kita juga mempunyai pemimpin wanita dalam negara," ujarnya.

Selain itu, sokongan ibu, ahli keluarga, rakan dan mentor menjadi sumber kekuatan sepanjang perjalanan itu, manakala arwah bapanya terus menjadi inspirasi mengharungi setiap cabaran.

Mengulas perancangan awal selepas dilantik, beliau berhasrat memperkukuh hubungan antara Kesatuan dengan pihak pentadbiran universiti menerusi kunjungan hormat kepada Rektor UIAM, selain meneruskan usaha memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama universiti yang tertangguh sejak sesi pentadbiran lalu.

Umairah turut berharap pencapaiannya dapat menjadi dorongan kepada generasi muda untuk lebih berani tampil sebagai pemimpin tanpa menjadikan jantina sebagai batasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!