Bot karam: Op SAR masuk hari kedua di Pulau Nunuyan

183275
183275
A
A
A
SANDAKAN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bot karam di perairan Pulau Nunuyan dekat sini disambung semula hari ini selepas ditangguhkan pada jam 6.30 petang semalam.

Menurut kenyataan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Sandakan di sini, operasi disambung semula pukul 7 pagi tadi melibatkan kawasan pencarian seluas 187 batu nautika persegi dan dipecahkan kepada enam sektor.

Tiga aset dikerahkan oleh APMM untuk mencari lima mangsa yang hilang dalam kejadian jam 6 petang pada Khamis lepas itu.

Turut terlibat dalam operasi itu ialah Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Wilayah Laut 2 Sandakan dengan tiga aset, Pasukan Polis Marin Sandakan (dua aset) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (satu aset).

Mangsa yang masih hilang ialah dua lelaki masing-masing berumur 38 dan 28 tahun, seorang wanita berumur 42 tahun, dan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berumur lapan dan satu tahun.

Mangsa lelaki berumur 38 tahun itu dipercayai tekong bot itu dan disyaki melarikan diri.

Pukul 12.15 tengahari semalam, lima mangsa (tiga lelaki dan dua wanita) diselamatkan oleh bot tempur TLDM selepas dilihat berpaut pada bot itu yang terbalik.

Kira-kira empat jam kemudian, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai mangsa bot karam itu dijumpai kira-kira 100 meter daripada bot itu.

Bot itu dipercayai dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke Sandakan dan terbalik akibat keadaan laut bergelora.- Bernama
Artikel Berkaitan: