X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Fadillah pegang jawatan sama dalam pembentukan tiga kerajaan terakhir

Fadillah
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yang dilantik semula sebagai Menteri Kanan Kerja Raya dalam Kabinet baharu yang diumumkan hari ini, memegang jawatan sama dalam tiga pembentukan kerajaan terakhir.

Fadillah, 57, Ahli Parlimen Petra Jaya menyandang jawatan itu semasa kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara pada 2013 hingga 2018 dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 9 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021 dan kini di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada 2008.

Semasa beliau menerajui Kementerian Kerja Raya, projek Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 1,089 kilometer merentasi Sarawak dan Sabah dilaksanakan pada 2015.

Fadillah, yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), dilihat menyambung legasi bapanya Allahyarham Yusof Merais yang merupakan pejuang ketika era antipenyerahan Sarawak kepada Kolonial British pada 1946.

Perjuangan beliau membela rakyat bermula semasa berkhidmat sebagai peguam setelah memperoleh Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Malaya pada 1986 dan diteruskan apabila menyertai politik sebagai ahli PBB pada 1989.

Bapa kepada lima anak ini buat pertama kalinya bertanding kerusi Parlimen Petra Jaya pada Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11) pada 2004 sebelum mempertahankan kerusi itu pada PRU12, PRU13 dan PRU14.

Fadillah pernah mewakili Ahli Parlimen Malaysia pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan dilantik sebagai Pengerusi Institusi Masyarakat (Wanita dan Kaukus Gender).

Beliau turut pernah mengetuai delegasi Parlimen Malaysia ke Persatuan Parlimen Antara Asia dan menjadi ahli perwakilan untuk Seminar Sosial Antarabangsa di Korea. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!