Fadillah, Ongkili 'orang kuat' Sarawak, Sabah dalam kabinet baharu

Fadillah, Ongkili
Fadillah, Ongkili
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hal ehwal serta kepentingan Sabah dan Sarawak tetap menjadi keutamaan kerajaan Persekutuan dengan pengekalan portfolio menteri kanan dan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) yang digalas wakil dari kedua-dua negeri berkenaan kekal dalam kabinet baharu pimpinan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah menteri berpengalaman dalam pentadbiran terdahulu turut diberi kepercayaan menggalas portfolio berkenaan iaitu Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai Menteri Kanan yang juga Menteri Kerja Raya dan Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).

Dalam barisan 'Kabinet Berorientasikan Hasil' yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, enam wakil rakyat dari Sabah dan Sarawak dilantik sebagai menteri penuh dan 10 timbalan menteri dengan kebanyakan mereka kekal dengan portfolio yang disandang pada pentadbiran terdahulu.

Ia merupakan jumlah sama seperti dilantik kerajaan sebelum ini.

Mereka yang menganggotai Kabinet baharu serta menggalas portfolio yang sama seperti sebelum ini ialah Ahli Parlimen Kapit Datuk Alexander Nanta Linggi sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna; Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Nancy Shukri sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula diberi peranan sebagai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang).

Sembilan timbalan menteri dalam pelbagai kementerian yang dilantik pula melibatkan masing-masing empat dari Sabah dan lima dari Sarawak.

Timbalan menteri dari Sabah kali ini melibatkan dua muka baharu iaitu Yamani Hafez Musa (Kementerian Kewangan) dan Datuk Mohamad Alamin (Kementerian Pendidikan), selain Datuk Arthur Joseph Kurup (Kementerian Kerja Raya) dan Jonathan Yassin (Kementerian Dalam Negeri).

Artikel Berkaitan:

Timbalan menteri dari Sarawak ialah Datuk Hanifah Hajar Taib (Jabatan Perdana Menteri), Datuk Ali Biju (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli), Datuk Aaron Ago Dagang (Kementerian Kesihatan) dan Willie Mongin (Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

Selain itu, Datuk Henry Sum Agong sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dan Datuk Hasbi Habibollah sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar. - Bernama