46 majikan didakwa gagal patuhi Akta 446

Ahmad Saidi ketika menjawab soalan lisan Abdul Azizi ketika Sidang DUN Perak pada Jumaat.
Ahmad Saidi ketika menjawab soalan lisan Abdul Azizi ketika Sidang DUN Perak pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Seramai 46 majikan di negeri ini didakwa kerana ketidakpatuhan terhadap penyedia penginapan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) sejak Januari hingga Jun 2021.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 2,800 majikan yang diperiksa sepanjang tempoh tersebut.

Menurutnya, sebanyak 35 majikan dikenakan tindakan atas kesalahan kesalahan sama.

"Jabatan Tenaga Kerja (JTK) telah mengadakan lawatan, pemeriksaan dan memberi nasihat terlebih dahulu kepada majikan dan penyedia penginapan awal Mei tahun lalu dan memberi makluman serta penyebaran kesedaran terhadap akta ini.

"Kewajipan untuk mendapatkan perakuan penginapan pekerja hanya bermula pada September 2020 bagi memberi masa kepada majikan untuk membuat persediaan," katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Abdul Aziz Bari (DAP-Tebing Tinggi) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat.

Tambah beliau, operasi penguatkuasaan terhadap penyedia penginapan pula bermula pada Disember tahun sama setelah diberikan tempoh selama enam bulan.

Ahmad Saidi berkata, sebanyak 855 permohonan penyedia penginapan diterima dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perakuan Penginapan pada tahun ini sehingga Julai.

Katanya, daripada jumlah permohonan tersebut, sebanyak 758 diluluskan jawatankuasa berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, bagi memastikan majikan mematuhi penguatkuasaan akta ini, JTK akan terus memantau, melaksana pemeriksaan dan menghantar notis peringatan kepada majikan atau penyedia penginapan yang masih belum memohon atau belum mendapat kelulusan perakuan penginapan ini.

Jelasnya, kerajaan negeri berharap majikan atau penyedia penginapan di Perak dapat melaksanakan tanggungjawab untuk mendapatkan kelulusan perakuan penginapan bagi menjaga kebajikan serta keselamatan pekerja khususnya dalam mengawal penularan virus Covid-19.