Kabinet perlu bertindak pantas, bersepadu bebaskan Malaysia daripada Covid-19

Ismail Sabri (kanan) mengumumkan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra, pada Jumaat.Turut sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Foto Bernama
Ismail Sabri (kanan) mengumumkan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra, pada Jumaat.Turut sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Menteri kabinet yang dilantik perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan kekusutan politik negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, barisan kabinet itu merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat.

“Pembentukan kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa untuk mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

“Saya akui bahawa kita sedang berada dalam keadaan getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara,” katanya ketika Pengumuman Kabinet Malaysia 2021 pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dunia akan hidup bersama Covid-19 sebagai endemik yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

Oleh itu, kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini.

“Kita perlu terus mengawal segala risiko Covid-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

“Saya akan memastikan barisan kabinet terus menjayakan agenda negara melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ismail Sabri, selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari rezeki dengan selamat.

“Barisan kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur,” katanya.