Nur Syaiful perbaharui rekod peribadi 100m gaya bebas lelaki S5

Perenang paralimpik negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli selepas beraksi dalam acara akhir 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 pada kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo. - Foto Bernama
Perenang paralimpik negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli selepas beraksi dalam acara akhir 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 pada kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Perenang para kebangsaan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli, menampilkan prestasi terbaiknya setakat ini, apabila berjaya memecah rekod peribadi 100 meter (m) gaya bebas lelaki S5 (kecacatan fizikal) di Sukan Paralimpik Tokyo.

Memulakan aksi di lorong pertama, Nur Syaiful menamatkan saingan di tangga ketujuh daripada lapan pelumba, dalam acara yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo pada Khamis.

Perenang Sarawak itu mencatat masa 1 minit 15.12 saat, sekali gus memadam catatan peribadi terdahulu iaitu 1:15.39 di London, United Kingdom pada 2019.

Atlet Itali Francesco Bocciardo, menampilkan renangan bergaya apabila merangkul emas dengan catatan 1:09.56s diikuti perenang China Lichao Wang, dengan merekod masa 1:10.45s dan Daniel de Faria Dias dari Brazil gagal mempertahankan emas dimenanginya di Rio 2016, apabila hanya meraih gangsa dengan 1:10.80s.

Nur Syaiful meloloskan diri ke peringkat akhir selepas menduduki tangga ketiga dalam saringan pertama dan ketujuh terbaik daripada 13 perenang secara keseluruhan.

Beliau mencatat masa 1:16.33 saat pada saringan tersebut.

Hanya lapan perenang terbaik daripada kedua-dua saringan yang dijalankan pagi Khamis, mara ke akhir.

Pada Rabu, Nur Syaiful, yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada 2012, tidak berjaya layak ke peringkat akhir acara 200m gaya bebas lelaki S5, selepas penyertaannya dalam saringan pertama dibatalkan gara-gara isu teknikal.

Artikel Berkaitan:

Selepas dua aksi disertainya, atlet berusia 26 tahun itu masih berpeluang untuk meraih pingat, apabila dijadual beraksi dalam acara 50m gaya bebas lelaki (S5) dan 100m kuak dada lelaki (SB4) selepas ini, bagi melengkapkan kempen sulungnya pada temasya berprestij di Jepun itu.

Dalam pada itu, Nur Syaiful berpuas hati apabila berjaya memperbaiki catatan peribadinya dan percaya persembahannya pada Khamis mampu membakar semangatnya untuk tampil lebih yakin seterusnya cuba memecahkan rekod peribadi pada dua baki saingan seterusnya di sini.

”Saya harap dapat mara ke final dalam dua acara lagi, Insya-ALLAH saya akan cuba berenang dengan lebih baik dan dapat kedudukan lebih baik berbanding hari ini,” katanya.

Beliau yang masih terasa sakit pada bahagian bahu kirinya juga memaklumkan bahawa kesakitannya sudah semakin berkurangan dan berharap ia beransur pulih menjelang saingan seterusnya nanti. - Bernama