'Semua pihak politik bersedia bekerja satu pasukan'

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) percaya semua pihak politik sama ada daripada kerajaan atau pembangkang telah bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan seperti mana yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata, pihaknya menyambut baik perbincangan dua hala antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan pemimpin-pemimpin pembangkang yang telah berlangsung pada Rabu.

“Dalam situasi semasa yang tidak mengizinkan Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, Ikram kekal dengan pendirian agar pemimpin-pemimpin politik dan ahli-ahli parlimen merentasi parti politik mengenepikan perbezaan politik dan bersama-sama berganding bahu untuk menangani krisis-krisis yang melanda.

“Kolaborasi politik sebegini amat kritikal demi kepentingan rakyat dan negara.

“Melalui kolaborasi ini diharap kekuatan dan kepakaran kedua-dua belah pihak akan dapat dimanfaatkan untuk kebaikan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 18 Ogos, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik.

Mengulas lanjut, Mohd Parid berkata, pendekatan 'whole of nation' amat perlu untuk mengeluarkan negara daripada kemelut yang sedang melanda negara pada ketika ini.

“Ikram berharap dan mendoakan agar usaha berkenaan akan membuka jalan ke arah kesepakatan antara pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang untuk menangani krisis kesihatan, ekonomi, sosial dan pendidikan yang melanda negara.

Artikel Berkaitan:

“Keutamaan mestilah diberikan kepada kesejahteraan rakyat yang telah lebih setahun menanggung kesusahan dan keperitan,” ujarnya.