X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

24,599 kes positif Covid-19, rekod tertinggi hari ini

Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia terus meningkat kepada 1,640,843 selepas 24,599 kes baharu dilaporkan pada Khamis. Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Unjuran permodelan oleh Institut Kesihatan Negara (NIH) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Julai menunjukkan negara sepatutnya mencapai kes harian 24,000 pada September depan.

Bagaimanapun, ia direkodkan pada Khamis selepas 24,599 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan.

Angka tersebut merupakan tertinggi yang pernah dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara Februari tahun lalu.

Beberapa negeri mencatatkan peningkatan ketara iaitu Johor, 2,785 kes berbanding Rabu dengan 1,832 kes, manakala Sarawak yang turut bergelut dengan varian Delta pula merekodkan 2,024 berbanding hari sebelumnya 1,667 kes.

Sebanyak 651 pertambahan kes juga direkodkan di Pulau Pinang menjadikannya 2,078 kes.

KKM melaporkan sebanyak 3,487 kes di Sabah, Pahang (690), Melaka (515), Perlis (67) selain Selangor kekal tertinggi iaitu 6,936 kes.

Negeri yang merekodkan penurunan kes adalah Kelantan (1,312), Perak (1,170), Kuala Lumpur (881), Terengganu (567), Putrajaya (20), Labuan (tiga).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 adalah 1,640,843 kes.

Menurutnya, negara turut mencatatkan kes sembuh tertinggi dalam tempoh sebulan yang lepas iaitu 22,657 kes sekaligus menjadikan jumlah keseluruhannya 1,359,791 kes.

"Jika dibandingkan pada 25 Julai, jumlah kes yang didiscaj dari hospital adalah 1,562 orang dan jumlah ini meningkat

kepada 2,153 orang pada 25 Ogos. Ia adalah petanda positif.

"Walaupun pada hari ini negara mencatatkan jumlah kes tertinggi sepanjang pandemik, kebanyakan kes yang dilaporkan adalah berada di kategori klinikal satu dan dua semasa didiagnosa iaitu 23,939 kes daripada keseluruhan kes hari ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 660 kes pula adalah daripada kategori tiga dan ke atas.

"Jumlah ini seiring dengan program vaksinasi yang semakin giat dijalankan di seluruh negeri di mana sehingga 25 Ogos sebanyak 56.9 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di seluruh negara telah menerima vaksin.

"Secara keseluruhan, 19,761 kes atau 80.3 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan pada hari ini tiada atau tidak lengkap vaksinasi," katanya.

Tambah beliau, terdapat 265,841 kes aktif di seluruh negara direkodkan dengan penurunan kes di unit rawatan rapi (ICU) iaitu 990 berbanding sebelum ini dan 487 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, sebanyak 393 kes kematian turut dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhannya 15,211 kes.

"Kes berkenaan membabitkan 294 rakyat tempatan dan 99 warga asing dengan 100 kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

"Kes BID terdiri daripada 50 rakyat tempatan dan 50 warga asing," katanya.

Sementara itu, KKM mengenalpasti 35 kluster baharu Covid-19 yang terdiri daripada 20 kluster tempat kerja dan sembilan kluster komuniti.

Turut dikenalpasti, tiga kluster kumpulan berisiko tinggi dan masing-masing satu kluster pusat tahanan serta kluster pendidikan lain.

Jumlah keseluruhan kluster adalah 4,583 dan 3,112 telah diisytiharkan tamat, manakala 1,471 lagi masih aktif serta merekodkan pertambahan kes.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!