Bersatu serah pada Presiden tentu tuntut jawatan TPM

Eddin Syazlee
Eddin Syazlee
A
A
A

SEREMBAN - Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) menyerahkan kepada Presiden Parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin sama ada perlu untuk parti itu menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam kabinet baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Eddin Syazlee Shith berkata, perkara itu sudah diputuskan dalam mesyuarat MPT baru-baru ini.

"Kita perlu hormat dan serahkan kepada Presiden parti untuk membuat keputusan sama ada perlu tuntut jawatan nombor dua atau tidak.

"Kalau boleh kita tidak mahu beratkan dan paling penting kita boleh bekerjasama dan memastikan objektif menangani Covid-19 jadi keutamaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Ziarah Prihatin Perikatan Nasional(PN) Negeri Sembilan di Pejabat Bersatu Negeri Sembilan di sini pada Khamis.

Hadir sama, Pengerusi Gerakan Negeri Sembilan, Datuk David Chong Vee Hing.

Eddin Syazlee (empat dari kanan) menyerahkan kotak bakul prihatin kepada David pada Pelancaran Ziarah Prihatin Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.
Eddin Syazlee (empat dari kanan) menyerahkan kotak bakul prihatin kepada David pada Pelancaran Ziarah Prihatin Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan.

Menurut Eddin Syazlee yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah, dari segi komposisi kabinet, Bersatu menyerahkan kepada Presiden parti untuk berbincang mengenainya dengan Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, Perdana Menteri juga diharap dapat mempertimbangkan untuk turut menyenaraikan ahli Parlimen dari parti Pas dan Gerakan dalam senarai kabinet itu.

"Bagi saya dari segi komposisi tiada masalah. Lebih kurang sama formula dengan yang sebelum ini. Cuma saiznya terpulang kepada Perdana Menteri.

"Kemungkinan ada kementerian yang perlu disusun semula, terpulang kepada keperluan. Itu kita boleh jangkakan," katanya.

Sementara itu beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Kerja Raya menerima dengan hati terbuka sekiranya tidak lagi tersenarai dalam kabinet baharu.

"Saya pun tidak tahu nasib macam mana tetapi saya dengan hati terbuka asalkan keadaan itu menyenangkan semua pihak," katanya.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, sebanyak 4,000 bakul prihatin akan diagihkan kepada penduduk di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.