Penjawat awam digesa bangkit, bersatu hati

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjawat awam digesa segera bangkit dan bersatu hati untuk terus berjuang dalam peperangan menentang Covid-19.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, perubahan yang berlaku kini menuntut penjawat awam mengamalkan norma baharu dalam kehidupan.

"Walau bagaimanapun, peperangan melawan pandemik ini telah menyebabkan tekanan, ketidakstabilan emosi, kelelahan pandemik dan sebagainya yang kadang kala melemahkan, kita perlu segera bangkit, saling berpaut, bersatu hati, bertahan dan terus berjuang," katanya.

Menurutnya, bertahan adalah tindakan terbaik di saat berhadapan dengan isu semasa.

"Hari ini, pepatah ‘penjawat awam adalah tunjang negara’ benar-benar terpateri," katanya.

Beliau berkata, menjadi tiang seri memerlukan penjawat awam untuk kekal utuh walau apa pun yang mendatang.

"Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada negara dari aspek ekonomi, politik dan sosial.

"Saya percaya hikmah yang kita pelajari daripada semua ini adalah ia mengukuhkan lagi semangat perpaduan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Khairul berkata, dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19, seluruh rakyat Malaysia termasuk penjawat awam bersatu memberikan komitmen sepenuh hati dalam menyahut misi bagi mencapai imuniti kelompok melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Selepas usaha vaksinasi ini selesai, kita masih perlu mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan ini daripada berulang kembali.

"Oleh itu, saya menyeru, bagi mengukuhkan kekuatan dalaman, kita perlu segera beradaptasi terhadap normal baharu dalam kehidupan mahupun pekerjaan," katanya.

Adaptasi yang diambil ujar beliau, menjadi perisai kepada kita untuk mendepani tekanan, kebimbangan dan memperkasakan daya tindak diri.

"Kita sebagai penjawat awam mestilah terbuka dalam menerima teguran yang membina untuk kebaikan bersama," katanya dalam perhimpunan bulanan JPA yang disiarkan menerusi Facebook rasmi jabatan itu pada Khamis.

Pada perhimpunan itu, Mohd Khairul turut melancarkan Sistem Pengurusan Amalan Nilai (SPAN 2.0) Perkhidmatan Awam.

SPAN dibangunkan pada tahun 2007 telah ditambah baik dan menetapkan supaya semua kementerian, jabatan, agensi kerajaan melaksanakan pengurusan amalan nilai secara holistik bagi meningkatkan tahap pengamalan nilai dan integriti di peringkat individu dan organisasi.

"Melalui SPAN 2.0, ia memberi tumpuan kepada tiga komponen utama iaitu Pengurusan Program Nilai, Pengauditan Nilai dan Intervensi," katanya.

SPAN 2.0 turut mempunyai lima domain pengukuran iaitu Rekod Amalan Nilai, Nilai Ideal, Nilai Peribadi, Nilai Organisasi dan Maklum Balas Pelanggan yang mengukur tahap pengamalan nilai perkhidmatan awam.