400,000 bukan angka yang kecil

Cuepacs melaporkan sebanyak 26 peratus penjawat awam masih belum divaksin. - Foto 123rf
Cuepacs melaporkan sebanyak 26 peratus penjawat awam masih belum divaksin. - Foto 123rf
A
A
A

ANGKA 400,000 bukan angka yang kecil jika dibandingkan dengan 1.6 juta keseluruhan penjawat awam dalam negara.

Pada Rabu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat melaporkan, sebanyak 26 peratus penjawat awam masih belum divaksin.

Penjawat awam merupakan jentera kerajaan yang perlu sentiasa bersedia untuk berkhidmat dan memberi manfaat kepada orang ramai.

Tidak kira di mana mereka bertugas sama ada di barisan hadapan atau belakang tabir, mereka perlu memastikan sistem kesihatan serta keselamatan negara tidak memudaratkan rakyat.

Golongan berkenaan perlu sedar sebarang tindakan yang diambil bukan sahaja memberi impak kepada diri sendiri tetapi akan melibatkan masyarakat sekeliling.

Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan ada kemungkinan mereka yang masih belum menerima vaksin terpaksa berbuat demikian atas faktor kesihatan, bukan semata-mata berpegang kepada prinsip antivaksin.

Ironinya, perkara itu menjadi semakin membimbangkan apabila sesetengah kelompok antivaksin sebenarnya terdiri daripada golongan yang cerdik pandai. Seperti yang dilaporkan media baru-baru ini mengenai seorang sarjan tentera yang dikenakan tindakan henti perkhidmatan kerana menolak pemberian vaksin Covid-19.

Dalam pada itu, seramai 779 guru di Johor juga didapati enggan mendapatkan vaksin. Golongan seperti inilah yang berisiko tinggi untuk menyumbang kepada kenaikan kadar kebolehjangkitan wabak Covid-19 dalam tempoh kritikal ini.

Lebih-lebih lagi apabila Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah membuat ketetapan bahawa pembukaan semula sekolah akan bermula Oktober depan, jadi sudah pasti tindakan warga pendidik yang masih tidak mahu menerima vaksin akan memberi implikasi buruk bukan sahaja terhadap kakitangan sekolah lain tetapi juga pelajar yang hadir ke sekolah nanti.

Artikel Berkaitan:

Pelik tetapi benar, masih ada lagi golongan yang tidak menerima vaksin sedangkan negara sudah dilanda pandemik Covid-19 hampir setahun lebih.

Pelbagai kajian saintifik telah dilakukan, namun maklumat daripada media sosial tetap menjadi pilihan sebahagian masyarakat untuk tidak mempercayai vaksin.

Sehingga kini, kerajaan juga telah melaksanakan pemberian vaksin secara walk-in di beberapa lokasi yang dapat mempercepatkan lagi proses vaksinasi kepada rakyat Malaysia.

Bagi menangani isu tersebut, kerajaan perlu bertegas terhadap kakitangan awam yang masih enggan menerima vaksin. Ia sebagaimana yang dilaksanakan beberapa negara seperti di Fiji, Zimbabwe dan Kanada yang mewajibkan rakyat khususnya penjawat awam untuk mengambil vaksin Covid-19.

Mana-mana penjawat awam yang enggan menerima vaksin dipaksa untuk mengambil cuti dan tidak dibenarkan untuk bertugas.

Usaha kerajaan untuk mencapai 80 peratus imuniti kelompok pada Oktober ini perlu diraikan dengan kerjasama penuh semua rakyat Malaysia. Kerajaan telah berusaha sehabis baik menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok dengan segera.

Pada masa yang sama, kerajaan perlu memberikan penerangan yang tegas berhubung informasi bahawa vaksin hanya sekadar perlindungan dan bukan menghapuskan virus Covid-19 secara penuh. Ia penting bagi menepis persepsi buruk dan kekeliruan yang diwujudkan oleh golongan antivaksin untuk menghasut rakyat Malaysia.

Mungkinlah sebahagian penjawat awam yang menolak suntikan vaksin kerana bimbang kesan sampingan dan aspek keberkesanan? Atau ada juga segelintir mereka yang mungkin memilih jenis vaksin sama ada Pfizer, Sinovac mahupun AstraZeneca.

Harus diingat, penjawat awam hari ini bertindak sebagai pendokong dan pelaksana dasar, inisiatif, program serta aktiviti yang digariskan oleh kerajaan demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Perkhidmatan awam merupakan nadi pentadbiran kerajaan dan mereka yang akan bertindak sebagai platform bagi menghubungkan antara kerajaan dengan rakyat. Jadi mereka perlulah melindungi diri sebelum bertindak untuk melindungi orang awam.

* Muhammad Yusainy Mohamad Yunus ialah Wartawan Meja Am