Adab digital cerminan kematangan masyarakat

KEBEBASAN bersuara tidak seharusnya menjadi tiket untuk menghina, memfitnah atau menjatuhkan maruah orang lain terutama dalam dunia digital yang semakin terbuka.
Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengenai kepentingan menjaga adab ketika menggunakan media sosial wajar dijadikan peringatan kepada masyarakat yang semakin terbiasa dengan budaya kecaman, makian dan penyebaran maklumat tanpa pengesahan.
Hakikatnya, media sosial bukan sekadar platform berkongsi pandangan, malah berupaya membentuk persepsi, mempengaruhi pemikiran dan mencorakkan hubungan dalam masyarakat.
Namun, apabila ruang itu disalahgunakan untuk menyemai kebencian, manfaat teknologi akhirnya tenggelam dalam pertelingkahan yang tidak berkesudahan.
Lebih membimbangkan, ada pengguna menganggap kebebasan bersuara sebagai hak untuk mengkritik sesiapa sahaja tanpa memikirkan kesannya dan perbezaan pendapat dijadikan alasan untuk menyerang peribadi.
Masyarakat berhak bersuara dan menegur, tetapi kritikan seharusnya berlandaskan fakta, bukannya kebencian.
Cabaran lebih besar muncul apabila teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk menghasilkan gambar dan video palsu.
Kandungan yang kelihatan meyakinkan boleh dimanipulasi bagi memalukan individu atau merosakkan reputasinya.
Lebih sukar, kesannya mungkin berpanjangan walaupun kandungan berkenaan sudah dikenal pasti sebagai palsu.
Dalam situasi itu, sikap terburu-buru berkongsi maklumat menjadi ancaman yang tidak boleh dipandang ringan.
Keinginan menjadi orang pertama menyampaikan sesuatu berita tidak seharusnya mengatasi keperluan menyemak kesahihannya.
Setiap pengguna perlu sedar bahawa tindakan menekan butang kongsi juga membawa tanggungjawab.
Maklumat yang tidak disahkan boleh mencetuskan salah faham sekali gus menjejaskan keharmonian masyarakat.
Usaha membudayakan adab digital tidak boleh bergantung kepada teguran semata-mata.
Pendidikan literasi media, tanggungjawab platform digital dan penguatkuasaan undang-undang secara adil perlu bergerak seiring.
Pada masa sama, pengguna mesti berani menolak budaya menghina, walaupun kandungan sedemikian mendapat perhatian ramai.
Titah Sultan Ibrahim membawa mesej jelas bahawa kemajuan teknologi perlu disertai kematangan berfikir dan keupayaan menghormati orang lain.
Kebebasan bersuara tidak diukur melalui sejauh mana tajamnya kata-kata, tetapi sejauh mana sesuatu pandangan mampu disampaikan dengan berani, berfakta dan beradab.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
