Lonjakan kes penceraian ketika pandemik membimbangkan

Lonjakan kes penceraian membabitkan pasangan Islam di seluruh negara ketika pandemik Covid-19 bermula Januari tahun lalu sehingga Jun tahun ini amat membimbangkan. Gambar hiasan.
Lonjakan kes penceraian membabitkan pasangan Islam di seluruh negara ketika pandemik Covid-19 bermula Januari tahun lalu sehingga Jun tahun ini amat membimbangkan. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Lonjakan kes penceraian membabitkan pasangan Islam di seluruh negara ketika pandemik Covid-19 bermula Januari tahun lalu sehingga Jun tahun ini amat membimbangkan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil berkata, ia jelas bahawa pandemik Covid-19 bukan sahaja menimbulkan krisis kesihatan dan ekonomi, malah mengheret negara ke krisis sosial.

"Kebiasaannya, faktor ekonomi akibat kehilangan pendapatan boleh membawa kepada perceraian dan ini boleh meningkatkan masalah tekanan hidup yang sedang dihadapi rakyat hari ini.

"Walaupun perceraian diizinkan dalam Islam, namun kesan sosio-ekonomi kepada keluarga yang terlibat yang membimbangkan kerana kesan terburuk adalah kepada anak-anak.

"Jika perceraian tidak diuruskan dengan baik dan bersefahaman, kebajikan anak-anak boleh terabai dari sudut perbelanjaan (nafkah), tumpuan pendidikan terjejas dan kesan psikologi serta pemikiran anak-anak," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar digital pada Selasa mengenai lonjakan kes perceraian di seluruh negara apabila 71,806 kes penceraian dilaporkan dalam tempoh Januari 2020 sehingga Jun tahun ini berdasarkan kenyataan Pegawai Khas kepada Ketua Hakim Syarie Malaysia, Abdul Fattah Kamarudin.

Dalam pada itu, Faiz yang juga merupakan seorang peguam berkata, lonjakan kes perceraian ini menjejaskan sosio-ekonomi orang Melayu kerana pasangan yang diceraikan terutama ibu tunggal terpaksa bekerja untuk menampung keperluan hidup keluarga dan ini akan menjejaskan tumpuan kepada anak-anak di rumah.

Menurutnya, jika kebajikan anak-anak terabai terutama pendidikan, ia akan menjejaskan pembangunan modal insan anak-anak Melayu yang berkualiti bagi mengharungi kepesatan pembangunan negara.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, badan berkuasa dan institusi Islam seperti Pusat Zakat, Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mengkaji bentuk bantuan baharu atau menetapkan satu metrik baharu untuk memastikan kebajikan anak-anak terjamin terutama dari sudut perbelanjaan harian dan pendidikan.

"Kementerian Wanita dan Keluarga (pula) perlu mengambil serius masalah perceraian ini dan perlu mengadakan pelbagai program yang boleh menyedarkan pasangan-pasangan mengenai impak perceraian," katanya.

Beliau berkata, bagi golongan wanita yang bercerai, tuntutan terhadap bekas suami boleh difailkan di mahkamah syariah di daerah masing-masing.

"Tuntutan ini melibatkan tuntutan nafkah iddah (tiga bulan), tuntutan mut’ah (pampasan perceraian), tunggakan nafkah (jika tiada nafkah ketika perkahwinan), nafkah anak-anak dan harta sepencarian sepertimana termaktub di dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam dan hukum syarak.

"Penyelesaian baik dan sefahaman antara pasangan pasca perceraian amat penting supaya kehidupan diteruskan dengan tersusun (clean break principle)," katanya.

Tambah beliau, bagi yang tidak mampu, pasangan bercerai boleh mendapatkan khidmat guaman percuma daripada Jabatan Bantuan Guaman (JBG) di Wisma Persekutuan.

"Namun, masalah yang sering menghantui pasangan bercerai adalah kegagalan bekas suami untuk membayar tuntutan setelah keputusan dan perintah dikeluarkan mahkamah syariah.

"Masalah ini perlu diselesaikan di peringkat dasar oleh kerajaan di mana undang-undang yang lebih berkesan dan praktikal perlu digubal supaya kepentingan wanita dan kanak-kanak dalam negara ini terus terbela," katanya.