Pembangkang tidak sulitkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri: Anwar

Anwar ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Rabu. - FOTO: BERNAMA
Anwar ketika ditemui pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Rabu. - FOTO: BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pembangkang tidak akan persulitkan kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Janji Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia selagi mana suasana politik yang dibawa Ismail Sabri berada dalam keadaan baik.

"Kita beritahu, kalau suasana begini dan program (yang dijalankan) agak pro rakyat kita tak akan persulitkan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Ismail Sabri pada di Pejabat Perdana Menteri sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai sama ada blok pembangkang membawa usul undi percaya terhadap Ismail Sabri pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Menurutnya, pembangkang turut bersetuju untuk mententeramkan dan mengurangkan suhu politik negara.

"Kita berikan cadangan supaya isu pro rakyat diberi keutamaan," katanya yang menyifatkan pertemuan bersama Ismail Sabri sebagai permulaan baik.

Beliau berkata, antara yang dibincangkan adalah pencegahan Covid-19 yang lebih berkesan selain menyentuh permasalahan golongan miskin dan hilang pekerjaan.

"Saya juga ucap terima kasih...Ismail Sabri ini wakil UMNO dan dibincang dengan Anwar dan DAP (Setiausaha Agung, Lim Guan Eng).

Artikel Berkaitan:

"Saya gurau dengan dia 'No Anwar No DAP' nampak berubah, Ismail Sabri kata, "kerana semangat titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk kerjasama semua pihak"," katanya.

Selain Anwar dan Guan Eng, pertemuan yang turut disertai oleh Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu itu berlangsung selama lebih satu jam.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menggesa undi percaya terhadap Ismail Sabri dilakukan segera di Parlimen.

Ia disokong oleh Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin dengan menyatakan bahawa usul undi percaya perlu dilakukan meskipun Ahli Parlimen Bera itu telah mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menegaskan, beliau tidak berminat untuk memegang apa-apa jawatan dalam kabinet yang bakal dibentuk Ismail Sabri.

"Saya tidak mahu dijadikan isu. Kita tidak datang untuk meminta jawatan," katanya.

Ujarnya, mesyuarat susulan di peringkat jawatankuasa yang bakal dipengerusikan oleh pembangkang akan diadakan.

"Beberapa langkah perlu diambil supaya kedudukan PM dan kedudukan negara lebih terkawal, nyaman politiknya," katanya.