Penjawat awam perlu neutral, tidak berpolitik

Tangkap layar Mohd Khairul Adib dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM pada Rabu.
Tangkap layar Mohd Khairul Adib dalam program Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Penjawat awam dinasihatkan untuk berpegang pada prinsip neutral dan tidak lantang bersuara berhubung isu politik.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, sebagai jentera kerajaan, mereka perlu memastikan sistem penyampaian sentiasa berada pada tahap maksimum untuk manfaat orang ramai.

Menurut beliau, penjawat awam dilarang untuk mengeluarkan pendapat yang menyentuh isu politik terutamanya dalam media sosial.

“Mereka juga rakyat Malaysia dan ada kecenderungan masing-masing tetapi mereka tidak boleh menzahirkannya atas prinsip berkhidmat untuk negara.

“Pandangan peribadi tentang politik akan mencorakkan kita dan mewujudkan pertikaian tentang kesetiaan pada negara.

“Tidak kira sama ada bertugas di barisan hadapan atau belakang tabir, kita mesti memastikan sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas walaupun berlaku perubahan pucuk pimpinan,” katanya dalam wawancara program Selamat Pagi Malaysia di saluran RTM pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul Adib berkata, sebagai negara yang mendukung amalan demokrasi berparlimen, perubahan landskap politik tidak dapat elakkan.

Bagaimanapun katanya, ia tidak seharusnya mempengaruhi penyampaian sistem perkhidmatan awam yang diibaratkan sebagai jentera dalam sistem pentadbiran negara.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan perkara baharu. Setiap lima tahun, negara akan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dan mencari pucuk pimpinan baharu.

“Dalam keadaan tersebut, akan berlaku lompang di mana tidak ada kabinet yang ditubuhkan. Ketika inilah penjawat awam akan terus menjalankan tugas bagi memastikan perkhidmatan masih berlaku.

“Ini kerana penjawat awam bertindak sebagai pendukung dan pelaksana dasar, inisiatif serta program yang digariskan kerajaan demi pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.