Sila log masuk terlebih dahulu.

Perlu 'tutup buku' demi Keluarga Malaysia

Mohamed Nizham ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat pada Selasa.
Mohamed Nizham ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua parti politik perlu 'tutup buku' daripada terus mencetuskan perbalahan mengenai kedudukan dan jawatan dalam usaha merealisasikan aspirasi 'Keluarga Malaysia' yang diketengahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi, berkata, fokus perlu diberikan kepada usaha membangunkan kembali ekonomi negara dan menyelesaikan masalah pandemik Covid-19.

Menurutnya, langkah itu tentunya selari dengan konsep kebersamaan dalam pendekatan yang diperkenalkan Ismail Sabri ke arah menjadikan Malaysia yang lebih baik.

"Sama ada ia (Keluarga Malaysia) medium untuk memujuk atau tidak tetapi akhirnya paling penting negara sedang alami fasa paling kritikal, pandemik Covid-19, dan paling penting ekonomi negara yang kritikal ketika ini.

"Saya lihat apa yang hendak dibawa oleh Ismail Sabri ialah kebersamaan antara kita sama ada dalam parti politik dan semua semua rakyat Malaysia.

"Sudah tentu jika ada pergolakan politik akan merencatkan perjalanan kita sama ada ekonomi dan kesihatan. Kita tidak boleh berpecah. Kita tutup buku dan selesaikan masalah dulu. Biar rakyat tentukan nasib parti-parti ini pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Ismail Sabri mungkin cuba lakukan medium 'Keluarga Malaysia' ini untuk mewujudkan kestabilan politik dan saya suka apabila beliau menawarkan pembangkang untuk turut serta dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN). Saya gembira apabila DAP membuka pintu pendamaian untuk bekerjasama,"katanya ketika menjadi panelis dalam Wacana Sinar Harian yang bertajuk Keluarga Malaysia Penawar Luka Rakyat pada Selasa.

Wacana itu dikendalikan moderator, Ismail Adnan dan turut menampilkan panel yang terdiri daripada Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin; Penganalisis Politik, Dr Sharifah Shahirah Syed Sheikh dan Ketua Pemuda DAP, Howard Lee.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohamed Nizham berkata, corak pemulihan negara kini terletak pada Perdana Menteri yang akan menentukan hala tuju negara menerusi pasukan pemimpin-pemimpin Kabinet yang terpilih.

Bagaimanapun ujarnya, selaku pemimpin muda, beliau menaruh harapan besar untuk melihat barisan kabinet yang berkemampuan dan berintegriti tinggi sebagai sebuah pasukan.

"Saya harapkan kabinet yang lebih kecil dan pelantikan perlu dibuat dengan berhati-hati memastikan anggota Kabinet yang benar-benar berfungsi. Tidak mengapa untuk 'recycle' menteri daripada Kerajaan terdahulu yang telah berjaya buktikan kemampuan.

"Ismail Sabri juga perlu ada kekuatan politik untuk ubah lanskap memberi jawatan mengikut tahap pemimpin, sebaliknya perlu mengikut merit dan beri kredit kepada mereka yang kompeten,"katanya.

Tegas beliau lagi, percaturan yang akan dilakukan Perdana Menteri baharu itu dalam mencorakkan aspirasi 'Keluarga Malaysia' juga akan memberi impak jangka panjang kepada UMNO sendiri pada PRU15.

"Sama ada UMNO akan kembali semula (sebagai pemerintah) atau kembali sebagai pembangkang," katanya.