E-sukan mampu sumbang tiga pingat di Sukan Sea Manila

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media majlis ‘Flag-off’ pemain Sukan Elektronik FIFA 19 ke kejohanan kelayakan FIFA eWorld Cup di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. Foto: Bernama
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media majlis ‘Flag-off’ pemain Sukan Elektronik FIFA 19 ke kejohanan kelayakan FIFA eWorld Cup di Kementerian Belia dan Sukan hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) optimis sukan elektronik (e-sukan) mampu menyumbang tiga pingat daripada enam acara yang dipertandingkan di Sukan SEA 2019 Manila pada hujung tahun ini.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Malaysia mempunyai pemain e-sukan bertaraf dunia yang berpotensi menyumbang pingat emas dalam kategori Tekken 7, Starcraft dan DOTA 2.

Justeru, katanya, KBS akan bekerjasama dengan Persatuan E-sukan Malaysia (ESM) untuk memanggil semua pemain terbabit bagi persiapan ke Sukan SEA nanti.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pemain e-sukan, Muhamad Luqman Haziq Hajiman ke kejohanan kelayakan e-Piala Dunia FIFA di Singapura pada Mac ini, di sini hari ini.

Selain DOTA 2, Starcraft dan Tekken 7, tiga lagi e-sukan yang dipertandingkan di Manila adalah Arena of Valor (AoV), Mobile Legends dan NBA 2019.

Berhubung ketiadaan e-sukan FIFA di Manila, Syed Saddiq berkata, permainan video tersebut wajib dipertandingkan pada Sukan SEA seterusnya.

"FIFA adalah permainan video yang popular di seluruh dunia. Mungkin di Manila tidak dipertandingkan tetapi di Sukan SEA akan datang, ia wajib dimasukkan, yang mana ia bukanlah sebagai sukan demo, tetapi sebagai sukan yang menawarkan pingat," katanya.

Sementara itu, Muhammad Luqman atau dikenali sebagai Fenrir merupakan wakil tunggal Malaysia dan Asia Tenggara bagi menggalas cabaran di kejohanan FIFA e-Piala Dunia.

Artikel Berkaitan:

Fenrir berkata sokongan daripada pihak KBS memberikan beliau semangat dan tidak mahu mensia-siakan peluang yang diberikan.- Bernama