Kelantan kembali perkemas PKRC

Dr Zaini (kanan) meluangkan masa melawat PKRC Gelanggang Seni, Kota Bharu pada Selasa.
Dr Zaini (kanan) meluangkan masa melawat PKRC Gelanggang Seni, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) kembali memperkemaskan setiap kemudahan yang terdapat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini sebagai persiapan menghadapi pertambahan bilangan kes jangkitan baharu Covid-19 dalam tempoh terdekat.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, persiapan awal itu dibuat selepas mengambil kira pertambahan kes yang sedang berlaku ketika ini.

"Kesiapsiagaan itu merangkumi pertambahan katil-katil biasa termasuklah klinikal untuk berdepan sebarang kemungkinan peningkatan kes Covid-19," katanya kepada pemberita selepas melawat PKRC Gelanggang Seni, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, aspek itu penting bertujuan mengelakkan JKNK berdepan situasi 'panik' sekiranya berlaku pertambahan kes selepas ini.

Beliau berkata, JKNK optimis dengan persiapan yang telah dibuat mereka sekali gus mampu memberikan perkhidmatan terbaik dalam merawat pesakit Covid-19.

Dr Zaini berkata, JKNK menzahirkan rasa syukur apabila masih diberikan kekuatan untuk mengurus dan memberikan rawatan yang terbaik kepada pesakit yang terkena jangkitan pandemik itu.

Mengulas mengenai varian yang terdapat di negeri ini, beliau berkata, setakat ini pihaknya mengesan terdapat dua kelompok iaitu Beta dan Delta.

Katanya, pengesanan dua varian itu hasil ujian ke atas sampel yang dilakukan oleh pihak JKNK.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat Kelantan masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) walaupun sudah diberi kelonggaran terutama kepada mereka yang menerima dua dos vaksinasi.

"Ini kerana kita masih belum 'menang' dalam menghadapi Covid-19," katanya.