Sila log masuk terlebih dahulu.

Kelab Nuri Bank Rakyat perluas platform media sosial

Kelab Nuri Bank Rakyat. Gambar kecil: Syed Abdul Aziz
Kelab Nuri Bank Rakyat. Gambar kecil: Syed Abdul Aziz
A
A
A

[DIKEMAS KINI] Kebab Nuri Bank Rakyat memperluaskan platform media sosial kelab berkenaan menerusi pelancaran Instagram dan Facebook @mykelabnuri baharu sebagai sebahagian daripada usaha untuk meningkatkan interaksi sosial dengan ahli kelab berkenaan dalam suasana pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, inisiatif itu diambil bagi mendekati golongan kanak-kanak dan remaja di samping menggalakkan mereka merancang pengurusan kewangan dengan lebih baik menerusi kemudahan dan insentif yang ditawarkan Kelab Nuri Bank Rakyat berikutan penularan wabak.

Menurutnya, pelancaran platform media sosial itu diikuti dengan pengenalan kemudahan baharu Akaun Simpanan-i Nuri yang mana pelanggan kini boleh menggunakan perbankan internet i-Rakyat untuk menguruskan akaun mereka dan melakukan transaksi.

"Akaun Simpanan-i Nuri merupakan antara produk bank yang unik kerana ia menggalakkan golongan kanak-kanak dan remaja berumur 18 tahun ke bawah untuk menabung demi masa depan yang lebih terjamin dan pada masa yang sama menawarkan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan.

“Kami juga menyedari bahawa populasi golongan kanak-kanak yang semakin meningkat merangkumi lebih 28 peratus daripada 32.7 juta penduduk negara ini (Laporan Statistik Kanak-kanak Malaysia 2020) menjadikan amalan menabung semakin penting bagi mencapai kebebasan kewangan apabila mereka dewasa kelak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Baru-baru ini, Kelab Nuri Bank Rakyat memperkenalkan ciri baharu iaitu pengurangan yuran keahlian sebanyak RM25 berbanding RM50 sebelum ini dan tiada yuran pembaharuan bagi tahun berikutnya.

Dengan yuran serendah RM25 sahaja, ahli Kelab Nuri layak mendapatkan pelbagai manfaat keahlian serta peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan.

Selain itu, pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan merupakan ahli Kelab Nuri berpeluang untuk mendapatkan insentif pendidikan melibatkan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM160,000 di bawah program 'Nuri High Achiever'.

Artikel Berkaitan:

Ahli kelab turut layak untuk menikmati diskaun eksklusif daripada 16 rakan dagang sedia ada antaranya Petrosains, Aquaria, Melaka Wonderland, Taman Mini Malaysia dan Kedai Canggih.