Simulasi operasi menyelamat tingkat kemahiran anggota

Mohd Ismail (kiri) mengajar anggotanya kaedah menyelamat mangsa banjir dari bot ke bot di Sungai Pahang, semalam
Mohd Ismail (kiri) mengajar anggotanya kaedah menyelamat mangsa banjir dari bot ke bot di Sungai Pahang, semalam
A
A
A
PEKAN - Simulasi memindahkan warga emas lumpuh menggunakan pengusung dari bot ke bot antara aktiviti dilakukan pada program latihan pembiasaan menghadapi banjir diadakan Balai Bomba dan Penyelamat Peramu di Sungai Pahang, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Mohd Ismail Abdul Latif berkata, simulasi operasi menyelamat itu bagi meningkatkan kemahiran anggota sepanjang operasi menyelamat mangsa banjir di daerah ini.

Menurutnya, kemahiran memindahkan mangsa banjir dari bot ke bot dianggap penting kerana bagi mengelak kejadian tidak diingini seperti bot terbalik dibawa arus deras air banjir.

“Jadi teknik pengawalan bot itu perlu, selain menenangkan mangsa banjir terutama wanita dan kanak-kanak ketika operasi memindahkan mereka dilakukan.

“Kemahiran itu penting supaya operasi menyelamat berjalan lancar,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Artikel Berkaitan:


Menurutnya, seramai 15 anggota termasuk dua wanita, dua bot dan sebuah jet ski terbabit pada simulasi yang berlangsung selama tiga jam mulai 9 pagi di Sungai Pahang.

Sepanjang latihan anggota didedahkan cara mengikat bot secara ganding seterusnya bergerak terutama apabila berlaku kerosakan, pemandu bot juga perlu mahir mengawal jentera ketika berhadapan arus deras.

Mohd Ismail berkata, latihan kali ini juga disertai pasukan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) yang bertanggungjawab memberi bantuan awal sekiranya berlaku kecederaan pada mangsa banjir.