Kraljevic, Boban bakal 'bermusuhan'

KRALJEVIC
KRALJEVIC
A
A
A

JURULATIH Kelantan, Marko Kraljevic ‘melupakan’ seketika persahabatan dengan rakan sejawatan, Ervin Boban ketika pasukannya bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada saingan Liga Premier di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam esok.

Kraljevic berkata, walaupun dia dan Boban bersahabat baik namun kali ini terpaksa menjadi ‘musuh di luar padang’ memandangkan mereka mempunyai misi tersendiri bersama pasukan masing-masing.

“Dari 1990 lagi kami berkawan, malah sehingga kini kami sentiasa berhubung. Tetapi persahabatan ini perlu ditinggalkan sementara waktu sehingga selesai perlawanan malam esok.

“Bila perlawanan bermula, masing-masing fikirkan pasukan hendak menang, fokus kepada pemain sendiri agar beraksi dengan baik untuk mengutip tiga mata,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Kedua-dua pengendali berasal dari Croatia itu nyata tidak asing memandangkan mereka pernah beraksi dalam kancah Liga Semi Pro negara ini dengan Kraljevic mewakili Kelantan manakala Boban bersama Johor, pada awal 1990.

Dalam perkembangan lain, Kraljevic memberi perkhabaran gembira buat penyokong The Red Warriors apabila mengesahkan dia akan berada di bangku simpanan pasukannya, malam esok.

Dalam tiga perlawanan terdahulu, jurulatih berusia 53 tahun itu tidak dibenarkan berada di kawasan teknikal berkenaan berikutan belum mendapat kad akreditasi daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Saya sudah mendapat kad akreditasi baru-baru ini, jadi untuk perlawanan malam esok saya boleh duduk bersama pemain dan memberi arahan daripada tepi padang," katanya.

Artikel Berkaitan: