RAM: Dana asing terus jauhi bon kerajaan pada Julai-Ogos

No Image Caption
A
A
A

DANA asing terus menjauhi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) bulan lepas dan keadaan sebegitu dijangka kekal sehingga Ogos, kata RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings).

Peningkatan kadar Covid-19 yang tinggi dan ketidakpastian politik terus menghakis minat asing terhadap kedua-dua instrumen itu pada bulan Julai, kata agensi penarafan kredit itu.

RAM Ratings melaporkan pengeluaran asing bersih meningkat dengan ketara kepada RM3.6 bilion daripada RM497.1 juta pada bulan Jun, sebahagian besarnya daripada MGS dan GII (RM3.2 bilion).

"Penyertaan asing yang lemah seperti itu dijangka berlanjutan sehingga Ogos terutama dengan kemelut politik yang memuncak sehingga menyaksikan peletakan jawatan pemimpin pada 16 Ogos, 2021.

"Ketidakpastian ini mungkin berlanjutan hingga usul undi percaya dibentangkan di Parlimen. Justeru, penyertaan asing dijangka kekal lemah dalam waktu terdekat," kata RAM Ratings dalam satu kenyataan.

Sebaik sahaja ketidakpastian ini berakhir, ia menambah perbezaan hasil positif berbanding Perbendaharaan AS, yang secara purata sekitar 195 mata asas untuk MGS 10-tahun pada bulan Ogos, mampu menyokong permintaan untuk MGS dan GII.

"Bagaimanapun, permintaan untuk tempoh masa yang lebih lama akan terbatas oleh penempatan semula dana global untuk mengelakkan risiko jangka masa terutama dengan jangkaan Rizab Persekutuan AS dan Bank Pusat Eropah akan mengembalikan kadar dasar kepada normal," kata agensi itu.

Pemberian vaksinasi yang terus dipercepat, menjurus kepada pemulihan ekonomi yang lebih nyata pada suku akhir 2021 dan 2022, seharusnya dapat membantu meningkatkan sentimen bagi sekuriti Malaysia pada akhir tahun ini, tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: