Kerjasama pembangkang untuk pulihkan negara

Kesepakatan ahli Parlimen pembangkang amat diperlukan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Kesepakatan ahli Parlimen pembangkang amat diperlukan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
A
A
A

PEMERINTAHAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepanjang 17 bulan lalu berakhir selepas peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan seluruh jemaah menteri kabinet minggu lalu.

Pergolakan politik negara kembali tenang apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima sokongan daripada 114 ahli Parlimen untuk diangkat sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Seluruh ahli Parlimen perlu patuh titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan.

Seperti titah Seri Paduka Baginda, yang menang supaya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan pihak yang tidak berjaya sebagai satu pasukan. Menang bukan menang kesemuanya, manakala yang kalah tidak kalah semua.

Pimpinan Ismail Sabri ditunggu-tunggu rakyat untuk melihat sebuah kerajaan baharu yang lebih cekap mengatasi pelbagai masalah lebih-lebih lagi isu kesihatan dan ekonomi akibat Covid-19.

Kerajaan baharu mesti melupakan segala persengketaan yang telah berlaku dalam kerajaan PN selama ini. Kesepakatan ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang amat diperlukan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Pelawaan Ismail Sabri kepada pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 dianggap satu langkah yang bertanggungjawab.

Menerusi sumbangan dan idea oleh pihak pembangkang, ia tentunya mampu mengelakkan lagi ketegangan politik sekali gus mewujudkan kebersamaan dan kerjasama rentas parti.

Artikel Berkaitan:

Ahli-ahli Parlimen perlu berganding bahu memerangi pandemik Covid-19. Satu lagi tugas yang amat berat pada kerajaan baharu ialah bagaimana memulihkan kegiatan ekonomi dalam kadar segera.

Kita mengharapkan ekonomi negara kembali cergas dan membawa manfaat kepada rakyat. Segala perancangan projek pembangunan yang dirancang juga perlu diteruskan segera.

Program vaksinasi misalnya untuk mencapai imuniti kelompok dan program pemulihan negara diharap berjaya dilaksanakan di bawah pimpinan kerajaan baharu.