Henti politiking, tumpu usaha pulihkan negara

Badlishah Sham Baharin
Badlishah Sham Baharin
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak perlu menghentikan politiking yang boleh menggugat kestabilan politik dan merencatkan usaha untuk memulihkan negara pasca pandemik Covid-19.

Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham Baharin berkata, ketidakstabilan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak boleh diulang kerana mudaratnya boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat dan membantutkan usaha pembangunan negara.

“Ikram mengikuti dengan penuh prihatin perkembangan politik mutakhir berhubung ura-ura ada pihak berhasrat untuk menjatuhkan kerajaan persekutuan.

“Pasca PRU15, semua ahli politik di pihak kerajaan mahupun pembangkang seharusnya berperanan untuk menjaga kebajikan rakyat dan mengeluarkan negara daripada pelbagai kemelut yang melanda.

“Ahli-ahli politik perlu membuktikan komitmen mereka untuk menyantuni rakyat dan seterusnya mengembalikan kepercayaan rakyat kepada sistem demokrasi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Jelas Badlishah, semua pihak perlu memberi fokus untuk memulihkan negara daripada semua sudut melalui kecekapan penyampaian perkhidmatan, daya saing, kesejahteraan sosial, perpaduan, kesihatan, pendidikan, kebajikan, alam sekitar dan sebagainya.

Kerajaan persekutuan katanya, mesti melaksanakan perubahan yang telah dijanjikan, memperbetulkan kesilapan dan membuktikan prestasi melalui hasil yang cemerlang.

“Ikram menyeru semua pihak untuk mendukung usaha-usaha kerajaan dalam menyantuni kebajikan rakyat serta memacu kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negara.

“Sebagai rakan strategik dalam membangunkan negara, Ikram komited untuk bekerjasama dengan semua pihak dalam usaha untuk memulihkan dan seterusnya membawa negara ke tahap yang lebih baik,” jelasnya.