Azalina letak jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Datuk Seri Azalina Othman Said
Datuk Seri Azalina Othman Said
A
A
A

SHAH ALAM - Datuk Seri Azalina Othman Said mengesahkan beliau telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Isnin.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi memberi ruang kepada kerajaan dan pembangkang untuk menetapkan kembali fungsi Parlimen.

“Dengan pelantikan Perdana Menteri yang baharu dan desakan serta permintaan jelas daripada orang awam bagi kerjasama antara parti, saya telah meletakkan jawatan pada hari ini.

“Ia bagi memberikan lebih banyak ruang kepada kerajaan dan pembangkang untuk menetapkan semula Dewan Rakyat supaya persidangan Parlimen pada Ogos ini akan berfungsi sebagai forum untuk persaingan yang profesional dan kerjasama pelbagai parti dalam pentadbiran dan pembuatan polisi.

“Saya akan menyokong apa sahaja reformasi yang mahu dilakukan oleh kerajaan dan pembangkang berdasarkan kepada kebijaksanaan bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, Azalina turut melahirkan penghargaan terhadap sokongan dan kritikan yang diberikan oleh semua pihak sepanjang 13 bulan beliau menjawat jawatan tersebut.

Mengulas lanjut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, tindakan untuk melepaskan jawatan tersebut dibuat kerana berlakunya isu konflik kepentingan memandangkan beliau merupakan seorang Ahli Parlimen daripada parti yang membentuk kerajaan.

“Pada masa akan datang, Speaker dan Timbalan Speaker untuk Dewan Rakyat harus digantung daripada mana-mana jawatan parti politik untuk memastikan tidak berlakunya situasi berat sebelah dalam menentukan keputusan.

Artikel Berkaitan:

“Ini merupakan ciri penting jawatan tersebut bagi boleh ia menjalankan fungsinya dengan efektif tanpa sebarang kepentingan ataupun rasa takut,” jelasnya.

Pada masa sama, Azalina berkata, prestasinya dalam menjawat jawatan tersebut juga terjejas ekoran daripada kurangnya proses perundingan dan pembuatan keputusan secara bersama.

“Sesuai dengan Aturan Urusan Mesyuarat, seorang Timbalan Speaker tidak dapat membuat keputusannya sendiri di Dewan.

“Membuat keputusan dan memikul tanggungjawab secara bersama, adil serta saling menghormati adalah elemen utama yang saya mahu lihat di Parlimen Malaysia,” jelasnya.