Hina nabi: Umat Islam sambut baik kesungguhan polis

Bantahan Hina Nabi Muhammad SAW berlangsung di hadapan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), hari ini.
A
A

IPOH - Kesungguhan pihak berkuasa berhubung isu penghinaan Nabi Muhammad SAW baru-baru ini di sambut baik oleh umat Islam di seluruh negara.

Jawatankuasa Penyelaras Program Ummah Negeri Perak, Fairuz Hafiz Othman berkata, pihaknya berpuas hati dengan tindakan berkenaan yang dilihat sebagai satu kesungguhan daripada pihak berkuasa dalam menangani isu penghinaan berkenaan baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Fairuz Hafiz, pihaknya akan terus memantau perkara berkenaan agar tidak ada ‘gangguan’ luar yang menggangu atau mempersoalkan tindakan berkenaan.

“Pada peringkat awal kita berpuas hati atas kesungguhan itu. Tetapi kita akan cuba memantau sekirannya ada gangguan daripada pihak luar yang cuba mengganggu atau mempersoalkan tindakan pihak berkuasa itu.

“Jika ada gangguan sedemikian, kita akan kembali bangkit bersolidariti dengan pihak berkuasa bagi mempertahankan tindakan itu dengan tegas,” katanya.

Fairuz Hafiz berkata demikian ketika ditemui sempena Bantahan Hina Nabi Muhammad SAW di hadapan Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri), hari ini.

Tambah Fairuz Hafiz program seumpamanya turut dianjurkan di 15 lokasi di sekitar negeri pada hari ini.

“Tujuan utama program berkenaan dianjurkan adalah untuk solidariti kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW nak bagitahu kepada seluruh masyarakat khasnya mereka yang bukan Islam, betapa cintanya kami kepada Nabi SAW, “ katanya.

Sementara itu Fairuz Hafiz berkata, program berkenaan turut memberikan solidariti kepada pihak berkuasa atas tindakan menahan individu yang menghina Nabi Muhammad SAW.

“Solidariti juga kepada pihak berkuasa agar tidak ragu-ragu untuk bertindak terhadap sesiapa sahaja yang cuba cetuskan huru hara atau pun cuba untuk mencabar dan melangkaui sempadan agama, khasnya agama Islam yang menjadi agama persekutuan,

“Kita dah susun atur supaya program ini agar ia jadi momentum bukan hanya untuk menyedarkan mereka yang bukan Islam tetapi juga untuk mengajak umat Islam untuk merasa bertanggungjawab atas pembelaan kepada junjungan Nabi Muhammad SAW,” katanya.