Realisasikan agenda 1 juta rumah mampu milik: Tun M

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir hari ini menggesa semua pihak, termasuk Kerajaan Negeri, supaya saling bertanggungjawab dalam merealisasikan agenda 1 Juta Rumah Mampu Milik, dan tidak hanya menyerahkannya kepada kerajaan pusat.

Beliau berkata semua pihak perlu melaksanakan komitmen masing-masing, terutama dari segi penyediaan tanah bagi pelaksanaan pembangunan perumahan itu.

"Begitu juga pihak pemaju swasta, mereka juga perlu memberi kerjasama menyediakan keperluan ini dan sedia melabur dalam pembangunan rumah untuk rakyat.

"Pengusaha industri perumahan juga berpeluang melabur dalam teknologi baharu pembinaan rumah kerana sudah ada kilang bahan binaan rumah mampu milik dan dipasang dengan cepat," katanya semasa merasmikan Ekspo Kempen Pemilikan Rumah (HOC), di sini hari ini.

Kempen Pemilikan Rumah ini adalah antara inisiatif kerjasama Kerajaan dan swasta untuk memperluas dan menyelaras akses rakyat kepada rumah mampu milik serta menangani isu kemampuan memiliki rumah.

Turut hadir, Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin.

Perdana Menteri berkata berdasarkan data pusat maklumat harta tanah negara, bilangan kediaman yang tidak terjual pada suku ketiga 2018 berjumlah 40,916 unit bernilai RM27.38 bilion, jika mengambil kira pangsapuri servis dan pejabat kecil pejabat rumah (SOHO).

"Kerajaan berharap melalui ekspo ini, kebanyakan kediaman yang tidak terjual ini dapat dipadankan dengan pembeli yang bersesuaian yang berhasrat memiliki rumah, sekali gus merancakkan aktiviti jual-beli hartanah kediaman bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Dr Mahathir berkata kemajuan sesebuah negara tidak mempunyai sebarang makna sekiranya rakyat masih tinggal di rumah yang daif dan tidak mencapai piawaian minimum perumahan.

Justeru, beliau berkata kerajaan PH sentiasa komited bagi memastikan penyediaan rumah mencukupi, selaras dasar perumahan negara yang dilancarkan 8 Jan lepas.

"Kerajaan amat memahami harga rumah tidak seperti dahulu. Harga rumah murah pada masa lalu sekitar RM25,000, namun harga rumah yang sama pada masa kini boleh mencecah sehingga RM130,000, bahkan lebih lagi.

"Ini memberi gambaran bahawa nilai rumah, walaupun asalnya rumah murah, telah meningkat," katanya. - Bernama