Maritim tahan bot nelayan ceroboh kawasan larangan

Tujuh kru yang ditahan Maritim Kedah dan Perlis kerana menjalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan pada kedudukan 3.0 batu nautika tenggara, Pulau Chorong, Langkawi pada pagi Ahad.- Foto Maritim Malaysia
Tujuh kru yang ditahan Maritim Kedah dan Perlis kerana menjalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan pada kedudukan 3.0 batu nautika tenggara, Pulau Chorong, Langkawi pada pagi Ahad.- Foto Maritim Malaysia
A
A
A

LANGKAWI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama tujuh kru selepas didapati menangkap ikan di kawasan larangan pada kedudukan 3.0 batu nautika tenggara, Pulau Chorong, Langkawi, pada pagi Ahad.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, bot tersebut ditahan menerusi rondaan rutin Op Benteng dan Op Aman sekitar jam 3.49 pagi.

Menurutnya, semasa dikesan bot tersebut sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan dengan menggunakan pukat tunda.

"Bot tersebut dengan pendaftaran PSF 2435 dikendalikan tujuh kru termasuk tekong yang berumur antara 23 hingga 44 tahun.

"Tiga daripada mereka adalah warga Thailand yang memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bot bersama hasil tangkapan ikan campur dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut. - Foto Maritim Malaysia
Bot bersama hasil tangkapan ikan campur dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut. - Foto Maritim Malaysia

Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, bot bersama hasil tangkapan ikan campur seberat kira-kira setengah tan serta tujuh kru kemudian dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut, Langkawi untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

Artikel Berkaitan:

"Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dalam menguatkuasakan undang-undang dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Pengusaha atau pemilik bot hendaklah mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan perairan negara," ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai dan komuniti maritim khususnya dimohon agar dapat bekerjasama dalam menyalurkan laporan berkenaan aktiviti jenayah di laut menerusi panggilan terus ke Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis yang beroperasi 24 jam sehari di nombor talian 04-9662750 atau MERS 999.