Kapal tangki Norway dikesan berlabuh tanpa kebenaran

Sebuah kapal tangki ditahan selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 27.8 batu nautika barat daya Sekinchan pada Sabtu.
Sebuah kapal tangki ditahan selepas didapati berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 27.8 batu nautika barat daya Sekinchan pada Sabtu.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor menahan sebuah kapal tangki kerana berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 27.8 batu nautika barat daya Sekinchan, pada Sabtu.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, kapal tangki itu ditahan kira-kira jam 1 petang berikutan pengesanan visual melalui Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) dan disalurkan kepada bot peronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Benteng Laut dan Op Ehsan.

Menurut beliau, kapal yang berdaftar di Norway itu didapati membawa 20 kru lelaki termasuk nakhoda yang berusia antara 28 hingga 58 tahun terdiri daripada warga Norway, Rusia, Latvia dan Filipina serta mempunyai dokumen diri yang sah.

"Hasil pemeriksaan, kapal tersebut dalam perjalanan dari Singapura dan singgah berlabuh di perairan Malaysia bagi menunggu arahan tugas seterusnya dari pihak syarikat yang berpangkalan di Norway," katanya dalam satu kenyataan pada ahad.

Mohd Rosli berkata, siasatan lanjut mendapati, nakhoda kapal gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau sehingga penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"Perintah penahanan ke atas kapal tersebut telah dikeluarkan dan dua kru kapal dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor untuk siasatan lanjut," katanya.

Tegas beliau, pihaknya sentiasa memandang serius ke atas pematuhan undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil demi memastikan kesejahteraan perairan negara khususnya di perairan Selangor.

Artikel Berkaitan:

"Pengusaha perkapalan atau pemilik kapal dinasihatkan untuk memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia sebelum melabuhkan sauh dan mengikut peraturan untuk melakukan sebarang aktiviti di perairan Malaysia.

"Jika terdapat aduan dan maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, sila hubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 yang beroperasi secara 24 jam atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia," katanya.